KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil kesemua 107 Ahli Parlimen Pembangkang yang berhimpun di Dataran Merdeka hari ini sebagai reaksi menunjukkan bantahan kepada penangguhan Parlimen.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, polis telah mengenal pasti kesemua peserta Perhimpunan Solidariti Bersama Anwar Ibrahim di Parlimen dan akan memanggil mereka dalam masa terdekat.

Beliau juga memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang notis pemberitahuan daripada penganjur berhubung perhimpunan itu.

"Ingin saya jelaskan di sini bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat maklumat daripada media mengatakan hari ini akan berlaku Perhimpunan Solidariti Bersama Anwar Ibrahim di Parlimen.

"Semakan dengan Parlimen mendapati tiada sebarang persidangan pada hari ini dan justeru itu, kita telah membuat sekatan dan lencongan dengan tidak membenarkan kumpulan itu memasuki Parlimen," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kuala Lumpur di sini, pada Isnin.

[LAPOR LANGSUNG] Ahli Parlimen Pembangkang diarah bersurai

Mengulas lanjut Azmi mengesahkan, setakat ini polis menerima dua laporan berhubung kejadian itu.

"Kita akan lakukan siasatan seperti perhimpunan lain dan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

"Daripada situ kita tahu apa tindakan lanjut akan dibuat," jelasnya.

Beliau memberitahu, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Akta 342 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Azmi juga memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang notis pemberitahuan daripada penganjur berhubung perhimpunan itu.

Pagi tadi, seramai 107 Ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka selepas gagal memasuki bangunan Parlimen.

Selepas berkumpul di Dataran Merdeka, sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang, antaranya daripada parti Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan), dihalang menuju ke Parlimen melalui Jalan Parlimen dari Bulatan Dato Onn oleh anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Antara yang hadir adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP,  Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution.