Kesemua 13 pendaki Malaysia yang terperangkap di atas Gunung Leuser di Aceh ditemui selamat semalam, dan mereka sedang diturunkan dari gunung itu oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Pengarah Urusan Global Communication Center Kuala Lumpur (GCC) Mustaqim Mustaza berkata, pasukan mencari dan menyelamat Indonesia menemui kesemua pendaki Malaysia itu termasuk seorang yang dilaporkan terkena serangan hipotermia Ahmad Nazit Rashid berhampiran Kem Kulit Manis 2 di gunung itu.

"Mereka ditemui pada 3.30 petang waktu tempatan dan dilaporkan dalam keadaan selamat termasuk Ahmad Nazit yang telah stabil," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, pasukan mencari dan menyelamat itu sedang membawa kesemua pendaki ke Puncak Angkasan untuk digabungkan dengan satu lagi pasukan mencari dan menyelamat dan akan turun secara bersama.

Pihak berkuasa Indonesia menerusi pasukan Badan SAR Nasional (Basarnas) telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima laporan mengenai 13 pendaki Malaysia yang terperangkap akibat cuaca buruk dan ribut di atas gunung yang dikenali sebagai 'paru-paru dunia' itu.

Pendaki Malaysia yang menamakan pasukan mereka sebagai Kumpulan Ekspedisi Unity Trans-Lung 2016 itu berlepas ke Medan pada 1 Disember 2016 dan dilaporkan tiba di Base Camp Jalur Kedah di gunung itu pada 2 Disember setelah 20 jam perjalanan darat dari Medan melalui kawasan bukit Tanah Karo.

Setelah seminggu membuat pendakian ke puncak Gunung Leuser, kumpulan itu tiba dan berehat di Kem Bipak Kaleng dengan ketinggian 2,972 meter dalam keadaan cuaca buruk.

-- BERNAMA