Individu yang dimasukkan ke wad pengasingan di sebuah hospital di negeri Sabah pada Rabu kerana disyaki dijangkiti koronavirus, telah disahkan negatif.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berdasarkan keputusan rawatan dan siasatan ke atas individu tersebut oleh pihak Institut Penyelidikan Perubatan (IMF).

Sebelum ini media melaporkan, terdapat empat kes di Malaysia yang disyaki jangkitan koronavirus, dengan tiga daripadanya telah disahkan negatif, sementara individu di Sabah itu sedang dalam pemerhatian.

Kata Dr Noor Hisham menerusi aplikasi WhatsApp kepada Astro AWANI, gejala yang dialami oleh individu keempat itu bukan jangkitan koronavirus (NCoV), sebaliknya disebabkan jangkitan influenza A. Dia kini beransur pulih dan berada dalam keadaan stabil.

Terdahulu, pihak Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan telah menerima laporan berhubung kes yang disyaki jangkitan koronavirus di negara ini.

BACA: Ini lima perkara yang anda perlu tahu mengenai koronavirus

Susulan itu, kesemua empat individu itu dimasukkan ke wad pengasingan sebaik dikesan, bagi membolehkan rawatan dan siasatan dijalankan.

Untuk rekod, 2019-nCoV mula tersebar di Wuhan sejak awal bulan ini apabila beberapa individu memiliki simptom seperti pneumonia, sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan ia adalah kategori koronavirus yang baharu.

Beberapa kes di luar Wuhan mula dikesan kemudian, termasuk di Beijing, Shanghai dan Guangdong, selain Thailand, Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Amerika Syarikat. Pihak berkuasa China mengesahkan 571 kes dan 17 kematian dicatatkan setakat semalam (Rabu).

B
ACA:
Koronavirus: Beijing batalkan sambutan Tahun Baharu Cina secara besar-besaran