Kesiapsiagaan banjir Kuala Lumpur dipertingkat, infrastruktur lebih mantap - Fahmi

FAHMI: Di Lembah Pantai, sebahagian besar bot ini telah ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah dan balai-balai polis bagi kegunaan pihak PDRM. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Fahmi Fadzil berkata persiapan menghadapi musim banjir berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pelaksanaan Op Murni.
Katanya, kerajaan di peringkat Kabinet telah diberi taklimat mengenai langkah persediaan, termasuk pengenalpastian lokasi berisiko banjir di sekitar Kuala Lumpur.
“Ramai Ahli Parlimen sebelum ini telah mengambil inisiatif menyediakan peralatan termasuk bot untuk kegunaan operasi menyelamat.
"Di Lembah Pantai, sebahagian besar bot ini telah ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah dan balai-balai polis bagi kegunaan Polis Diraja Malaysia,” kata Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Program Kayuhan Amal Mesra Wilayah Persekutuan 2025 di Lembah Pantai, di sini, hari ini.
Jelas Fahmi lagi, beliau sendiri turut memantau beberapa lokasi yang sering menjadi hot spot banjir termasuk Kampung Pasir, dan mendapati infrastruktur termasuk rumah pam di kawasan itu diselenggara dengan baik..
“Penduduk (Lembah Pantai) juga kini lebih bersedia berbanding sebelum ini. Tahap kesiapsiagaan mereka jauh lebih baik selepas pengalaman banjir besar pada 2021,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL).
“Dengan musim cuti sekolah yang bakal tiba, kita harap keluarga memberi perhatian khusus agar tidak terperangkap akibat banjir terutama di kawasan-kawasan rekreasi dan perkelahan.
"Susun aktiviti dengan mengambil kira keadaan cuaca dan sentiasa berwaspada,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu ATM menggerakkan lebih 7,880 aset mobiliti dan mempersiapkan 4,428 anggota bagi menghadapi MTL melalui Op Murni bagi memastikan bantuan kecemasan dapat dilaksanakan secara pantas dan berkesan.
Beliau berkata sebanyak 506 aset mobiliti darat, 7,355 aset mobiliti perairan dan 19 aset mobiliti udara dipersiapkan di seluruh negara terutama kawasan sasaran bencana.
Dapatkan info, ramalan cuaca dan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

