PUTRAJAYA: Kesilapan berulang dalam pengurusan sumber manusia sektor awam perlu dihentikan dan ditangani secara menyeluruh, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Beliau berkata, kesilapan urusan pelantikan, pemangkuan, kenaikan pangkat, pelarasan gaji, tatatertib serta pengurusan prestasi tidak seharusnya dijadikan kebiasaan.
Menurut Wan Ahmad Dahlan, ukuran paling asas terhadap kualiti sesebuah sistem ialah sama ada kesilapan yang sama terus berulang.
“Jika ia berulang, itu menandakan puncanya belum ditangani. Kes yang kelihatan kecil pada peringkat proses berupaya memberi impak yang besar kepada pegawai, juga kredibiliti organisasi.
“Kesilapan berulang bukan lagi kes terpencil, sebaliknya ia menandakan kelemahan sistemik,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam Tahun 2026, di sini, hari ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata, pencapaian Malaysia dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026 yang melonjak menjadi penanda aras baharu bagi jangkaan dan harapan rakyat terhadap perkhidmatan awam.
“Oleh itu, di sinilah letaknya peranan kritikal pengurus sumber manusia, yakni menyokong Teras Keberhasilan Reformasi, terutamanya dalam pembangunan organisasi, modal insan dan penyampaian perkhidmatan.
“Keberhasilan reformasi tidak ditentukan oleh kecanggihan sistem semata-mata namun ia juga bersandar kepada kualiti manusia yang melaksanakannya,” katanya.
Beliau berkata, reformasi mahupun transformasi menuntut keberanian penjawat awam untuk membuang kebiasaan lama yang lapuk dan memilih amalan baharu yang relevan demi penstrukturan semula yang berimpak tinggi.
“Transformasi adalah sebuah proses yang berterusan manakala reformasi adalah perubahan radikal yang hanya akan menjadi realiti apabila kita berani membuat keputusan yang betul dengan lebih pantas dan menangani masalah hingga ke akar umbi.
“Justeru, memacu prestasi bermakna meningkatkan mutu kerja manakala merealisasikan reformasi bermakna memastikan perubahan itu benar-benar memberi impak.
“Anjakan besar ini mesti dizahirkan secara tuntas melalui pengurusan sumber manusia yang dinamik,” katanya.
Dalam sidang media berasingan, Wan Ahmad Dahlan berkata, isu terkait dengan pengurusan sumber manusia ini melibatkan dimensi yang besar daripada persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Jadi, kita ingin menjaga penjawat awam agar tidak ada kerugian yang berlaku (kepada penjawat awam) akibat daripada kesilapan pengurusan manusia,” katanya.
Pada persidangan itu, Wan Ahmad Dahlan turut melancarkan buku “Institusi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Alaf Baharu”, yang mendokumentasikan perkembangan, peranan dan sumbangan Institusi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
Ia merangkumi strategi, pembaharuan dan inisiatif KPPA dari 2000 hingga 2025 dalam membentuk perkhidmatan awam Malaysia alaf baharu.
Persidangan bertemakan “Memacu Prestasi, Merealisasi Reformasi” itu dihadiri lebih 1,000 orang penggerak utama sumber manusia daripada kementerian, jabatan, agensi setiausaha kerajaan negeri, badan berkanun dan PBT.
-- BERNAMA