PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sedang mempercepat laporan untuk merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig.

Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata kajian sedang dilakukan dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) sebelum laporan interim dijangka dibentangkan kepada Kabinet menjelang 1 Jun ini.

"Selepas itu, dalam masa dua atau tiga bulan kita akan membentangkan laporan penuh tentang fungsi, perundangan, keahlian, implikasi kewangan, bidang kuasa dan sebagainya," katanya.

Sim berkata demikian kepada media selepas Sambutan Hari Pekerja bertemakan 'Pekerja Kesuma Bangsa' yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri meminta agar penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig disegerakan memandangkan terdapat kumpulan pekerja yang tidak diwakili secara langsung dalam membela kebajikan mereka.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri ketika majlis penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 pada 2 Mac lepas bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig terutama dalam kalangan anak muda.

Mengenai perkembangan kajian kadar gaji minimum, Sim berkata ia dijangka dilaksanakan dalam tahun ini.

Beliau berkata kajian teknikal mengenai perkara itu telah siap dan akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Perundingan Gaji Negara dalam masa terdekat dan seterusnya kepada Jemaah Menteri.

-- BERNAMA