KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyasarkan sekurang-kurangnya 200,000 penempatan pekerjaan di seluruh negara tahun ini menerusi pelbagai inisiatif padanan kerjaya serta program kebolehpasaran di bawah kementerian itu.
Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan berkata sasaran berkenaan diyakini mampu dicapai susulan sambutan memberangsangkan terhadap Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs 2026 yang menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan merangkumi pelbagai sektor, termasuk syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.
Advertisement
Beliau berkata peluang pekerjaan yang ditawarkan tahun ini bukan sahaja tertumpu di Semenanjung Malaysia, malah diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, sekali gus menjadikan skop pengambilan pekerja lebih menyeluruh berbanding tahun sebelumnya.
“Selain itu, terdapat tambahan kira-kira 10,000 lagi peluang pekerjaan yang akan ditawarkan. Kita juga akan memulakan siri jelajah MYFutureJobs ke seluruh negara, bermula di Melaka.
“Jelajah ini dijangka membuka peluang lebih besar kepada pencari kerja, dengan jumlah tawaran pekerjaan yang jauh lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan tapak Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan serta Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Dalam perkembangan sama, Ramanan berkata kementerian akan melancarkan siri inisiatif sokongan krisis bersasar sempena Hari Pekerja pada 1 Mei ini bagi menangani kesan ketidaktentuan ekonomi global.
Langkah itu menyusul selepas seramai 5,900 rakyat Malaysia dilapor diberhentikan kerja pada Mac lalu, dengan Selangor dan Kuala Lumpur antara negeri paling terjejas.
Menurut beliau, tindakan proaktif berkenaan diambil susulan trend membimbangkan dalam pasaran buruh negara yang turut dipengaruhi tekanan geopolitik semasa.
Ramanan berkata antara tumpuan utama inisiatif berkenaan ialah meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja menerusi intervensi lebih dinamik, termasuk penambahbaikan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).
"Penambahbaikan ini dijangka memberi manfaat lebih menyeluruh kepada pekerja, meliputi perlindungan sosial dan akses lebih mudah kepada program latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling)," katanya.