KUALA LUMPUR: Kerajaan menamatkan amalan kelulusan kuota pekerja asing secara ‘case by case’ dengan mewajibkan semua permohonan dibuat menerusi sistem digital, sekali gus menghapuskan budaya beratur dan campur tangan pihak tertentu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, keputusan itu dibuat susulan pemindahan Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing (OSC) ke bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), selaras keputusan Jemaah Menteri yang berkuat kuasa serta-merta.
Beliau menegaskan, semua permohonan kuota pekerja asing kini perlu dikemukakan melalui modul e-Kuota dalam sistem Foreign Worker Centralized Management System (FWCMS) tanpa sebarang pertimbangan khas.
“Tak ada lagi case by case. Semua mohon melalui sistem. Tak perlu datang jumpa saya (menteri) atau pegawai pejabat untuk minta dipercepatkan atau diberi kuota. Semua melalui sistem, sangat telus dan sangat jelas,” katanya dalam satu sidang media, di sini, pada Isnin.
Menurut Ramanan, sistem itu akan menggantikan proses lama yang memerlukan majikan hadir secara fizikal untuk mendapatkan nombor giliran atau temu janji, yang sebelum ini sering dikaitkan dengan kesesakan dan kelewatan.
Katanya, melalui sistem baharu itu, majikan hanya perlu mengemukakan permohonan secara dalam talian sebelum sistem menetapkan tarikh serta masa temu janji secara automatik.
“Sebelum ini, majikan dari Johor atau Kedah terpaksa datang dan beratur, tetapi belum tentu sempat dipanggil. Ada yang diminta datang semula kerana nombor giliran sudah habis.
“Sekarang, mereka tidak perlu lagi meninggalkan negeri masing-masing. Gunakan sahaja sistem yang akan beri tarikh dan masa temu janji.
“Selepas agensi kawal selia meluluskan permohonan, OSC akan membuat pertimbangan sebelum kelulusan dikeluarkan. Prosesnya lebih mudah dan teratur,” katanya.
Tambah Ramanan, algoritma sistem akan menentukan giliran temu janji secara automatik tanpa mengira latar belakang pemohon, selain memastikan tiada pihak mendapat layanan istimewa.
“Kalau seseorang sengaja memohon temu janji tetapi tidak hadir beberapa kali, sistem akan menyenaraihitamkan mereka kerana tindakan itu menjejaskan peluang majikan lain yang benar-benar memerlukan pekerja,” katanya.
Mengulas dakwaan wujud kartel dalam urusan pengambilan pekerja asing sebelum ini, Ramanan berkata pelaksanaan sistem digital dijangka menutup ruang manipulasi kerana semua proses dikendalikan secara dalam talian.
Setakat ini, KESUMA memaklumkan sebanyak 22,476 permohonan melibatkan 548 syarikat diproses menerusi penggunaan sistem baharu itu.