KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang membuat kajian dan penelitian untuk memperkenalkan skim perlindungan keselamatan sosial yang berkuat kuasa 24 jam dan Insurans Jangka Panjang (LTCI) bagi penjagaan warga emas.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata usaha bagi menyokong agenda ekonomi ihsan Malaysia MADANI itu, bagaimanapun perlu mempertimbangkan pelbagai kekangan termasuk kos caruman setiap individu.

"Sememangnya visi KESUMA adalah untuk memberi perlindungan keselamatan sosial 24 jam dan menyeluruh kepada kumpulan pekerja khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

"Saya akan memberikan maklum balas dan kemas kini dari semasa ke semasa untuk skim-skim berkenaan," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KESUMA di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, beliau berkata pada tahun ini kerajaan juga perlu mengkaji semula perintah gaji minimum seperti yang tertakluk dalam Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang memperuntukkan perkara itu dikaji sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun.

"Kita akan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk majikan dan pekerja serta mengambil rujukan laporan-laporan sosioekonomi seperti laporan Bank Negara," katanya.

Sementara itu, Sim menafikan jumlah pekerja asing dalam bidang profesional dan berkemahiran kini melangkaui jumlah siswazah tempatan.

Beliau berkata berdasarkan data pada tahun lepas, bilangan pekerja mahir tempatan ialah 2.236 juta orang, jauh lebih besar daripada jumlah pegawai dagang asing atau ekspatriat yang mempunyai pas aktif iaitu 109,707 orang.

"Jumlah ini (pegawai dagang asing) hanyalah 4.9 peratus daripada keseluruhan pekerjaan mahir yang wujud di negara ini," katanya.

Mengulas lanjut, Sim berkata pengambilan ekspatriat perlu dilihat sebagai satu daripada strategi pemindahan ilmu dan teknologi untuk memperkasa tenaga kerja tempatan.

"Berlandaskan strategi pemindahan ilmu dan teknologi, KESUMA sedang merancang satu dasar untuk mewujudkan peluang perantisan kepada anak tempatan bagi syarikat yang mengambil pekerja ekspatriat," katanya.

-- BERNAMA