KUALA TERENGGANU: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mensasarkan kira-kira 70,000 penduduk di dalam wilayah itu bakal mendapat suntikan vaksin COVID-19 menjelang penghujung Ogos ini.

Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata, pelbagai usaha akan dilakukan bagi memastikan sasaran 80 peratus imuniti kelompak melibatkan penduduk di kawasan Ketengah dapat direalisasikan.

Jelasnya, pihaknya juga akan menyediakan 17 tempat strategik bagi dijadikan lokasi program outreach pemberian vaksin COVID-19 bagi memudahkan penduduk di wilayah itu untuk mendapat suntikan.

“Apabila outreach yang kita cadangan kepada pengarah kesihatan diterima pakai, dua hari outreach itu berada dalam wilayah Ketengah, maka suntikan sudah mencecah 7,000.

“Saya jangka bila usaha ini berterusan dan kita akan meneruskan usaha kita ini, Insya Allah penghujung Ogos kita akan melebihi 80 peratus daripada 70,000 penduduk dalam wilayah Ketengah sudah mengambil vaksin,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya telah mencadangkan lima lokasi untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) namun pihaknya melihat program outreach itu lebih berjaya.

Bagaimanapun, Razali berkata pendekatan secara outreach itu juga memudahkan penduduk di wilayah Ketengah untuk menerima suntikan berbanding PPV.

Razali turut menjangkakan, dalam tempoh dua minggu lagi, semua penduduk yang layak divaksin akan mendaftar dalam aplikasi MySejahtera sekali gus menjayakan program vaksinasi itu.

Sementara itu katanya, Ketengah juga telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi membantu melancarkan urusan pendaftaran vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera dalam kalangan penduduk di tiga wilayahnya.

Jawatankuasa khas dinamakan ‘Stay Safe-Ketengah Region’ (S-REG) yang dianggotai 200 sukarelawan itu giat turun padang ke Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu untuk membantu penduduk yang berdepan kekangan menggunakan aplikasi tersebut.