KUALA LUMPUR: Polis telah mengambil keterangan daripada 25 individu berhubung kejadian membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata polis turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan doktor bagi memastikan semua perkara berkaitan kes itu disiasat dengan teliti.
Beliau pada masa sama menyeru masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan spekulasi yang timbul berhubung kejadian berkenaan.
"Jadi saya menyeru kepada masyarakat di luar sana jangan terlalu terikut-ikut dengan spekulasi yang timbul,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Panduan Jururunding Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Mes Pegawai PDRM Bukit Aman, di sini hari ini.
Mengulas penugasan Pegawai Kawalan Perjalanan (TCO) di bawah Cawangan Khas PDRM, Mohd Khalid berkata tugas rasmi pegawai berkenaan adalah mendapatkan maklumat risikan, menjalankan aktiviti risikan serta melaksanakan kawalan keselamatan di lapangan.
Beliau berkata perkara itu merupakan tugas biasa yang dilaksanakan pegawai serta anggota dan berharap penugasan berkenaan tidak disalahertikan sementara siasatan terperinci dijalankan.
Mengenai kemungkinan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika kejadian, beliau berkata perkara itu masih belum dapat dipastikan kerana memerlukan siasatan lanjut.
"Dari segi kebiasaannya, ia tidaklah melanggar apa-apa SOP tetapi mungkin ada perkara-perkara di dalam bangunan TCO itu sendiri ataupun di bangunan KLIA itu memerlukan pelaksanaan tugasnya dalam bidang kuasa masing-masing," katanya.
Beliau berkata polis akan meneliti perkara tersebut secara terperinci sebelum melengkapkan kertas siasatan untuk dikemukakan kepada pihak Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.
Sementara itu, dua pegawai yang terlibat dalam kejadian berkenaan masih menjalankan tugas seperti biasa sementara siasatan polis diteruskan.
Sebelum ini, media melaporkan Mohd Shuhaily menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan yang mungkin dikenakan susulan video tular yang memaparkan dirinya memarahi seorang individu di KLIA Terminal 1.
Mohd Shuhaily berkata perkara berkenaan telah dimaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan serta KDN dan beliau bersedia menerima sebarang keputusan berhubung isu tersebut.
-- BERNAMA