Skip to main content

Malaysia

Peraturan kawasan lindungan dugong di Mersing dalam proses semakan AGC

Rosmawati berkata satu kematian dugong dilaporkan tahun ini di Tanjung Leman, berbanding tiga kematian yang direkodkan tahun lepas membabitkan dua anak dan seekor dugong dewasa. - Gambar Bernama
Rosmawati berkata satu kematian dugong dilaporkan tahun ini di Tanjung Leman, berbanding tiga kematian yang direkodkan tahun lepas membabitkan dua anak dan seekor dugong dewasa. - Gambar Bernama

Advertisement

MERSING: Peraturan berkaitan kawasan lindungan dugong yang meliputi kira-kira 1,700 kilometer persegi di perairan Mersing sedang dalam proses semakan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Johor Rosmawati Ghazali berkata peraturan itu antaranya melibatkan usaha mengurangkan kelajuan bot semasa melalui lokasi tersebut bagi mengurangkan risiko mamalia terbabit daripada terkena kipas bot.

"Dugong ni perlu ambil udara (bernafas) di atas (permukaan) setiap dua jam. Berdasarkan rekod kita, kebanyakannya mati akibat terkena kipas bot yang melalui kawasan itu.

"...kebiasannya kalau terkena pada badan, mereka boleh pulih, tetapi kematian sering berlaku apabila terkena bahagian tengkuk kerana terdapat arteri di situ. Jadi pengemudi bot perlu memperlahankan bot mereka pada kelajuan tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas meninjau kerja-kerja melabuh modul restorasi karang jenis “cheese block” di perairan Pulau Tinggi di sini, baru-baru ini.

Rosmawati berkata satu kematian dugong dilaporkan tahun ini di Tanjung Leman, berbanding tiga kematian yang direkodkan tahun lepas membabitkan dua anak dan seekor dugong dewasa, dipercayai berpunca daripada terkena kipas bot selain tersangkut pada pukat.

"(Bagaimanapun) Kematian dugong tidak banyak (direkodkan) kerana laut kita luas...jika berlaku di darat kita tahu (maklum).

"...kadang-kadang kalau (bangkai dugong) dihanyutkan sampai ke Pulau Aur dan tiada laporan dibuat jadi kita tidak tahu," katanya.

Beliau berkata haiwan itu hanya terdapat di perairan Johor khususnya Mersing bagi kawasan Semenanjung.

Rosmawati berkata berdasarkan rekod Kajian Mamalia Laut dan Pemuliharaan (MareCet), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pihak berkaitan, populasi dugong di perairan Mersing dianggarkan sekitar 100 ekor.

Beliau berkata jumlah itu diperoleh melalui kaedah kiraan kuadrat serta pemerhatian berikutan dugong agak sukar dikesan secara langsung dan lazimnya dapat dilihat menggunakan dron.

"Kalau kita lihat sekarang, kawasan Pulau Sibu mempunyai banyak rumput laut yang menjadi habitat dugong. Pada Ogos lepas juga ada penampakan dugong yang timbul untuk mengambil udara berhampiran pulau tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Rosmawati berkata usaha pemuliharaan sumber marin seperti udang karang turut dilaksanakan menerusi inisiatif “Lobster Refugia” di sekitar Pulau Aur yang meliputi kawasan perlindungan habitat seluas kira-kira 1,500 kilometer persegi.

Beliau berkata antara peraturan ditetapkan bagi kawasan tersebut adalah musim tertutup dari Disember hingga Februari, selain udang karang dengan ukuran karapas (kulit keras) kurang enam sentimeter serta udang karang betina yang bertelur perlu dilepaskan semula ke laut.

“Perkara sebegini yang kita usaha untuk bagi kesedaran kepada golongan nelayan di kawasan berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement