KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang merangka dan menyusun semula strategi bagi mengawal selia dan menyokong perkembangan pusat jagaan warga emas berikutan kekangan untuk menguatkuasakan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 (Akta 802).
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata Akta 802 yang digubal bagi mengawal selia kemudahan dan perkhidmatan jagaan kesihatan warga emas swasta melalui pelesenan, penetapan standard dan penguatkuasaan telah diwartakan pada 29 Mac 2018, namun masih belum dikuatkuasakan.
“Antara kekangan yang dihadapi ialah kapasiti penguatkuasaan, termasuk keupayaan sumber manusia dan (keperluan) memastikan pelaksanaan mengikut praktikaliti serta kelestarian yang diperlukan,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.
Hanifah Hajar berkata demikian bagi menjawab isu yang dibangkitkan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai penguatkuasaan Akta 802.
Beliau berkata susulan pewartaan Akta 802, KKM telah melaksanakan beberapa langkah persediaan, termasuk menyiapkan draf peraturan dan garis panduan di bawah akta berkenaan.
Hanifah Hajar berkata Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih relevan dan boleh diguna pakai untuk mengawal selia pusat jagaan warga emas yang beroperasi di Malaysia, termasuk daripada aspek kualiti dan keselamatan jagaan.
Dalam hal itu, beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bertanggungjawab terhadap aspek kebajikan penghuni manakala KKM bersedia membantu dalam aspek kesihatan bagi memastikan kedua-dua perkhidmatan dapat diselaraskan dengan baik.
“KKM juga akan mengadakan perbincangan di peringkat pegawai bersama KPWKM bagi memperhalusi hala tuju pusat jagaan warga emas berkaitan Akta 506 dan Akta 802,” katanya.
Sementara itu, Hanifah Hajar berkata pendekatan penjagaan warga emas juga perlu mengambil kira tahap keperluan yang berbeza, termasuk mereka yang masih sihat dan berdikari, memerlukan rawatan sekali-sekala serta golongan yang memerlukan penjagaan sepenuhnya.
“Kita juga ingin melihat bahawa bukan sahaja dari segi pusat warga emas yang diperlukan tetapi kita ingin menggalakkan pemberian latihan kepada rakyat Malaysia untuk membantu mereka yang perlu diberikan penjagaan di rumah,” katanya.
Justeru, beliau berkata KKM akan terus melihat kaedah yang lebih sesuai bagi menambah baik penjagaan warga emas supaya lebih praktikal dan relevan dengan keperluan semasa.
-- BERNAMA