Ketua Hakim Negara Datuk Seri Utama Tengku Maimun Tuan Mat hari ini mengetuai senarai 42 penerima Darjah Kebesaran Persekutuan 2019 daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena Hari Keputeraan rasmi Seri Paduka.

Pada istiadat pengurniaan hari pertama hari ini, Tengku Maimun, 60, yang dilantik memegang jawatan itu pada 2 Mei lepas menerima Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran 'Tan Sri'.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan itu yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, di sini.

Tengku Maimun yang merupakan anak jati Kota Bharu, Kelantan mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama memegang jawatan tertinggi badan kehakiman negara.

Turut menerima Darjah PMN ialah Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Ismail, 58, dilantik sebagai KSN pada 29 Ogos lepas. Lulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Doktor Falsafah dari University of Hull, United Kingdom itu telah 32 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam serta berpengalaman luas dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan.

Zulkifli, 60, pula dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 20 Jun 2018 dan pernah memegang jawatan Panglima Tentera Darat pada 2011.

Pada tahun ini, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan kepada 795 individu daripada pelbagai kategori.

Selain tiga tokoh tersebut, istiadat pengurniaan hari pertama hari ini turut menyaksikan 15 individu lain menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang juga membawa gelaran Tan Sri iaitu Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah, Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah.

Turut menerima, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir, Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri Datuk Badariah Arshad, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany.

Penerima Darjah PSM yang lain adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Balia Yusof Wahi, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MFDM Holdings Sdn Bhd Datuk Seri Mahamad Fathil Mahmood, Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Datuk Soh Thian Lai, Presiden dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Prof Datuk Dr Chuah Hean Teik serta Peguam Negara Qatar Dr Ali Fetais Al-Marri.

Yang di-Pertuan Agong turut mengurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran 'Datuk' kepada 21 penerima iaitu Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Nor Azri Zulfakar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Paduka Dr Siti Hamisah Tapsir, Peguam Cara Negara II Datuk Siti Zainab Omar, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun, Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Supang Lian dan Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru See Mee Chun serta Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia(FRIM) Datuk Dr Abd Latif Mohmod.

Turut menerima Darjah PJN, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad, Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Dr Wahid Razzaly, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid, Timbalan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri Datuk Akbar Samon.

Selain itu, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Leftenan Jen Datuk Kamalruzaman Mohd Othman, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Markas Tentera Darat Leftenan Jen Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan, Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar Yahya, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraan Awam Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Datuk Seri Rosli Ab Rahman, bekas Pakar Perunding Kanan Periodontik Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Dr Ahmad Sharifuddin Mohd Asari, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif DXN Holdings Berhad Datuk Dr Lim Siow Jin serta Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Pada istiadat pengurniaan hari ini Al-Sultan Abdullah turut mengurniakan Darjah Panglima Setia Diraja (PSD) yang membawa gelaran 'Datuk' kepada Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Azuan Effendy Zairakithnaini, Duta Besar Malaysia ke Republik Korea Datuk Mohd Ashri Muda dan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Rozainor Ramli.

-- BERNAMA