BUTTERWORTH: Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru, Datuk Ir Mansor Musa mengaku tidak bersalah atas 106 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram bernilai RM11 juta di Mahkamah Sesyen Butterworth pada Isnin.

Pengerusi Koperasi syarikat hartanah di Pulau Pinang berusia 58 tahun itu membuat pengakuan tersebut dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Muhamad Yunus.

Mengikut pertuduhan, Mansor didakwa membabitkan penerimaan transaksi dan perbelanjaan wang haram iaitu wang tunai, saham, dan hartanah dibawah kuasanya sebagai pengerusi koperasi.

Semua kesalahan tersebut didakwa di lakukan diantara September 2011 hingga Ogos 2020.

Sebanyak 42 kesalahan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. (Akta 613)(AMLATFA 2001)

Manakala 64 pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) (AMLATFAPUAA 2001).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dibawah AMLATFA.

Manakala bagi AMLATFAPUAA, hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Pasukan Pendakwaan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah bersama Muhamad Asraf Mohamed Tahir dan Muhamad Azlan Basri.

Manakala tertuduh diwakili peguam Kek Boon Wei dan Helen Ng.

Mahkamah membenarkan Mansor diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Terdahulu, proses pendakwaan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung itu mengambil masa empat jam berikutan Mahkamah Sesyen Butterworth mengalami gangguan bekalan elektrik selama beberapa kali sehingga kes terpaksa ditukar ke tiga bilik mahkamah lain.

Mansor dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur minggu ini bagi berdepan 54 lagi pertuduhan rasuah.

Semalam, beliau ditahan SPRM selepas dipercayai terlibat dalam kes rasuah berjumlah lebih RM16 juta dengan keseluruhan pertuduhan adalah sebanyak 160 pertuduhan.