Kerajaan persekutuan tetap menghormati keunikan pendirian rakyat Sarawak biarpun adakalanya berbeza dengan rakyat di negeri-negeri di Semenanjung, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata walaupun wujud sentimen yang agak parokial dalam kalangan rakyat di Sarawak namun ia tidak menggugat kesetiaan mereka sebagai rakyat Malaysia.

"Memang ada semangat Ngap Sayotnya, memang ada semangat nak mengikis bulu betis, memang ada kelainannya tetapi dalam hati kita tetap bersama-sama dengan Semenanjung," katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Ke-13 di sini.

"Saya faham kita perlu menilai dan memberi penghargaan dan memahami kelainan kita," katanya.

Namun, kata Najib, kelainan ini tidak menghalang kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk menjalin hubungan yang akrab selama ini.

Najib yang juga pengerusi Barisan Nasional turut menyatakan penghargaannya kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang telah memberikan sokongan konsisten kepadanya sejak memegang tampuk pemerintahan negara.

Katanya di bawah kepimpinan Taib yang juga Presiden PBB, Barisan Nasional mencapai kemenangan yang cemerlang dengan menguasai 25 daripada 31 kerusi parlimen di Sarawak pada pilihan raya umum ke-13 lepas.

Perdana menteri berkata pelantikan tujuh menteri dan empat timbalan menteri dari Sarawak selepas itu merupakan tanda penghargaan kepada sokongan cemerlang rakyat negeri ini terhadap BN.

Kemenangan besar ini juga menjadi landasan untuk kerajaan pusat dan kerajaan negeri untuk terus berganding bahu melaksanakan pembangunan khususnya di kawasan luar bandar Sarawak.

Dalam pada itu, Najib turut memuji PBB yang berjaya kekal stabil dan membolehkannya menerajui usaha-usaha meningkatkan pembangunan di Sarawak.

Najib berkata beliau menghargai kestabilan dalam setiap parti komponen BN yang menjadi asas bagi mereka untuk terus mencapai kejayaan.

Beliau mengakui setiap parti komponen menghadapi cabaran masing-masing namun para anggota parti perlu menanganinya dengan cara yang bersesuaian.

"Kita harus tangani hal dalaman parti dengan baik dan hanya dengan cara ini rakyat akan menghormati kita," katanya.