Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengajak rakan-rakan dalam parti itu agar membina semula UMNO.

Tegasnya, UMNO perlu melakukan perubahan dan tidak menangguhkannya lagi.

"Saya mengajak rakan-rakan yang ingin membina semula UMNO daripada keruntuhan yang kita lihat hari ini, untuk bersama-sama dengan saya kerana perubahan ini mesti bermula dengan serta-merta.

"Kita tidak boleh tangguhkannya lagi. Jasa UMNO kepada agama, bangsa dan negara terlalu besar untuk kita biar parti keramat ini musnah dan hilang selama-lamanya," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Justeru katanya, UMNO perlu berubah menjadi parti yang disukai orang ramai.

"Saya mahu kita kembalikan UMNO kepada semangat yang asal. Di mana UMNO tidak dilihat sebagai parti yang terpisah dari rakyat, parti untuk golongan atas sahaja, parti yang tidak kisah soal integriti, parti yang dianggap bongkak dan sombong.

"Saya mahu UMNO kembali menjadi parti untuk orang ramai. Parti yang jaga maruah orang Melayu, yang menjaga kemakmuran bersama kaum-kaum yang lain, parti yang tidak rasis – parti yang benar-benar berjuang untuk semua lapisan masyarakat," tambahnya.

Kata beliau, UMNO tetap mempunyai tanggungjawab di kawasan-kawasan yang dimenangi walaupun mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Saya faham, seluruh warga UMNO sedih dan ada yang marah akan keputusan PRU-14 ini. Saya sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, meminta maaf kepada ahli UMNO, kerana sebagai seorang pemimpin parti, saya tidak dapat membantu parti kita mencapai kemenangan pada kali ini," ujarnya.