Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengarahkan siasatan dijalankan ke atas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berhubung ulasan kes Aminulrasyid Amzah yang dimuat naik di akaun Twitternya.

Khalid berkata, Pua memutarbelitkan fakta dan mengelirukan khalayak umum melaluinya.

“Tweet ini sengaja memutarbelitkan fakta bertujuan mengelirukan rakyat. Panggil orang ini dan siasat," katanya.


Pada Khamis lalu, keluarga Aminulrasyid menerima ganti rugi berjumlah RM414,800 selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan tuntutan saman yang dikemukakan mereka terhadap polis dan kerajaan.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memerintahkan keluarga Aminulrasyid dibayar pampasan sebanyak RM150,000 bagi kesakitan dan penderitaan, RM150,000 sebagai ganti rugi teruk dan teladan, RM10,000 bagi perkabungan, RM4,800 bagi kos pengebumian dan RM100,000 bagi salah laku kepada masyarakat umum.

Aminulrasyid ialah remaja lelaki yang mati terkena tembakan seorang anggota polis di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.