Khalid: Gaji ADUN tetap naik, yang tidak setuju boleh sedekah

Tan Sri Khalid Ibrahim menafikan dakwaan yang mengatakan keputusan untuk menaikan gaji ADUN di Selangor dibuat tanpa perbincangan.

Khalid: Gaji ADUN tetap naik, yang tidak setuju boleh sedekah | Astro Awani
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menolak cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali supaya kenaikan gaji ADUN Selangor yang diumumkan pada Rabu ditangguhkan.

Khalid juga menafikan dakwaan bahawa keputusan untuk menaikan gaji ADUN di Selangor dibuat tanpa perbincangan dengan wakil rakyat lain.

Katanya, semua ADUN di Selangor boleh memilih sama ada mahu menerima gaji baru atau menderma sebahagian atau keseluruhan wang gaji untuk tujuan amal.

"Saya tak akan pertimbangkan. Ia telah diputuskan Dewan. ADUN Pakatan dan BN semua setuju. Semasa dibahaskan tiada bantahan daripada mana-mana pihak.

"Jadi kalau ada yang tidak bersetuju, boleh dermakan kepada sesiapa," katanya kepada pemberita selepas sidang DUN di Shah Alam, hari ini.

Khalid menegaskan setakat ini tidak ada pihak lain yang menggesa beliau untuk menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji tersebut kecuali Azmin.

Azmin yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC) Selangor hari ini menggesa kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji bagi menteri besar, exco, speaker, timbalan speaker dan ADUN negeri itu agar penilaian semula dengan kadar berpatutan dapat dilakukan.

Azmin berkata biarpun BBC tidak menolak kenaikan gaji tersebut, kadar yang diumumkan itu adalah terlalu tinggi.

"Kita tidak tahu bagaimana pelaksanaannya dan kerajaan negeri sudah umumkan semalam. Tidak ada perbincangan langsung yang dibuat bersama BBC," katanya yang juga merupakan ahli Parlimen Gombak dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.

Sebelum itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenaikan gaji itu terlalu tinggi dan menyarankan Khalid supaya mencari jalan untuk mengkaji semula kenaikan gaji tersebut.

DUN Selangor pada Rabu meluluskan kenaikan gaji untuk kesemua 56 anggota DUN berkuat kuasa Januari 1 depan, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3%.

Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN daripada RM6,109.29 kepada RM22,500; timbalan speaker daripada RM3,327.50 kepada RM15,750 dan ADUN daripada RM6,000 kepada RM11,250.

Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 2011.

Abdul Khalid ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata mesyuarat exco pada November 22 bersetuju menaikkan kadar gaji itu berdasarkan formula 75% daripada elaun dan gaji yang diterima ADUN dan anggota pentadbiran Sarawak.

Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali menyifatkan kenaikan gaji yang diumumkan Khalid itu sebagai luar biasa dan boleh dicatatkan dalam rekod dunia.