Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan hendak merampas semula jawatan itu daripada penyandangnya Mohamed Azmin Ali.

Menurut Abdul Khalid, beliau hanyalah menyatakan kesediaan untuk bertanggungjawab sekiranya orang yang dipertanggungjawabkan itu, tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik.

"Tidak, saya tidak terfikir untuk jadi menteri besar lagi tetapi jika orang tidak dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab itu tidak dijalankan dengan baik, saya bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut, itu sahaja," katanya pada sidang media selepas majlis iftar Darul Fuqaha' di sebuah hotel di Putrajaya pada Sabtu.

Abdul Khalid sebelum ini pernah dilaporkan sebagai berkata beliau bersedia untuk kembali menjadi MB Selangor bagi memastikan negeri itu ditadbir secara telus dan bebas rasuah.

Bagaimanapun, katanya perkara itu hanya berlaku sekiranya beliau mendapat majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

"Saya bukan hendakkan sangat perkara ini. Saya cuma hendak tunjukkan setiap pemimpin mesti bertanggungjawab untuk menentukan jika dia berjanji untuk memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat, dia mesti menunaikan tanggungjawab tersebut," kata beliau yang juga ADUN bebas Pelabuhan Klang itu.


Dalam pada itu, Abdul Khalid juga berharap agar isu air di Selangor dapat diselesaikan segera kerana dikhuatiri akan membebankan rakyat Selangor.

"Saya mendapati jika perkara ini tidak selesai, ia akan menjadi beban yang sangat besar kepada rakyat di negeri Selangor," katanya.

Beliau turut menasihatkan kerajaan negeri untuk membuat keputusan tentang isu berkenaan dengan cepat dan bertanggungjawab.

Terdahulu, kerajaan negeri Selangor telah memberi jaminan proses penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri itu akan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat memandangkan hanya satu perkara lagi yang perlu diselesaikan.

Mohamed Azmin sebelum ini berkata perkara itu sedang cuba diselesaikan oleh pihaknya dengan Kerajaan Persekutuan setelah perbincangan lanjut dilakukan dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air minggu lepas.

Beliau juga telah menulis surat kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memastikan beberapa isu berbangkit berhubung penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor dapat diselesaikan segera.

Menurutnya, proses penstrukturan semula itu berada di peringkat terakhir dan beliau berharap ia dapat dimuktamadkan sebelum Aidilfitri ini.