Ulama muda dalam Pas dilihat lebih sibuk mengkritik Pakatan Rakyat hingga gagal menangani propaganda Umno dan Barisan Nasional (BN) diperingkat akar umbi sehingga parti itu gagal menembusi kubu kuat parti lawannya.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Khalid Samad berkata kegagalan ulama pelapis memainkan peranannya itu merupakan punca kemerosotan Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

“Kegagalan kita (Pas) ialah kegagalan untuk menangani dakyah Umno di peringkat akar umbi.

“Sepatutnya ulama pelapis ni tumpu kepada kelemahan dalam menangani dakyah Umno dikalangan masyarakat Melayu.

“Daripada dia sibuk nak serang dan mengkritik Pakatan Rakyat lebih baik dia tumpu kepada persoalan menangani dakyah Umno,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Khalid berkata, ketika PRU13 lalu, Pas sepatutnya menembusi dan menawan kerusi yang sekian lama menjadi kubu kuat Umno tetapi gagal menanganinya secara efektif.

Katanya, sekiranya Dewan Ulama mampu memberi tumpuan dalam peranannya semasa PRU13 sudah pasti perkara itu berjaya dilaksana.

“Itu kelemahan kita, bukan kerana tahaluf siyasi (persefahaman politik),” katanya.

Kenyataan ahli parlimen Shah Alam itu dibuat ekoran ucapan wakil Lajnah Keahlian Ulama Pelapis (LKUP) semasa membahaskan ucaptama Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib ketika Multaqa Ulamak Se-Malaysia yang berlangsung di Kota Sarang Semut, Kedah pada Sabtu yang menganggap kerjasama dengan parti Keadilan Rakyat (PKR) merugikan.

Sehubungan dengan itu, Multaqa Ulama itu mengeluarkan resolusi yang menyarankan agar Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Pas Pusat menyemak semula kerjasama dalam Pakatan Rakyat terutama dengan PKR.

Namun Mursyidul Am Pas Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap kerjasama Pas dalam Pakatan Rakyat tidak pernah silap.

“Berhubung kedudukan Pas di dalam Pakatan Rakyat, jika mahu dikaji, silakan.

“Tetapi kaji hanya untuk penambahbaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang.

“Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada UMNO yang sedang kelemasan,” kata Nik Aziz.