Khazanah Nasional Bhd akan menubuhkan pusat khas bagi memberikan 'sokongan penempatan' kepada kira-kira 6,000 kakitangan Malaysia Airlines (MAS) yang akan diberhentikan berikutan proses penstrukturan semulanya.

Sumber yang mahir dengan penstrukturan semula berkata, tumpuan pusat penempatan (OPC) itu adalah untuk menghulurkan semua sokongan berkaitan dan diperlukan kepada pelbagai kumpulan kakitangan yang meninggalkan syarikat penerbangan nasional berkenaan.

Ini termasuk sokongan profesional, emosi dan kewangan bagi membantu mereka ketika mereka beralih ke peringkat kerjaya seterusnya.

Pada akhir Ogos lalu Khazanah mengumumkan pelan 12 perkara bagi memulihkan MAS yang akan menyaksikan 6,000 pekerja daripada setiap peringkat dihentikan.

Tindakan itu akan menyebabkan munculnya MAS baharu dan lebih kecil pada 1 Julai 2015 berbanding 20,000 tenaga kerja ketika ini.

Menurut sumber berkenaan, OPC akan membantu kakitangan transisi yang dikenal pasti di bawah tiga kategori, iaitu pesara awal, pencari kerja dan usahawan berpotensi.

OPC yang berada di bawah naungan Pusat Latihan Kemahiran Korporat (CRC), ditubuhkan untuk penstrukturan semula dan perkhidmatan sokongan dan akan merangkumi bidang seperti kewangan, perancangan persaraan, panduan kerjaya dan kaunseling, hubungan dengan bakal perekrut dan perkongsian dengan badan berkanun yang berpotensi.

Untuk pesara awal, OPC akan menyediakan kaunseling mengenai pengurusan dana persaraan mereka di samping menyesuaikan diri kepada kehidupan selepas bersara.

Kepada kakitangan yang memilih latihan kemahiran, mendapat kerja baharu atau mungkin industri lain dengan keperluan berbeza, OPC akan membantu mempersediakan mereka untuk masa depan.

Latihan kemahiran di CRC akan menampung pekerja yang memilih latihan dan latihan kemahiran bagi mendapatkan kemahiran baharu kerana CRC akan menawarkan mereka infrastruktur dan sokongan yang perlu agar mereka cemerlang dalam kerjaya selepas meninggalkan MAS.

Khazanah dan MAS telah bekerjasama dengan Scicom (MSC) Bhd dan Sutherland Global Services untuk memberi latihan kemahiran kepada kakitangan MAS.

Selain itu, OPC menawarkan panduan dan bantuan kepada mereka yang memilih untuk menjadi usahawan.

Sumber itu juga berkata, OPC akan memainkan peranan penting dalam proses penstrukturan semula, bukan sahaja kepada 6,000 kakitangan terbabit, tetapi juga daripada aspek 14,000 kakitangan yang akan menyertai MAS baharu di mana akan terdapat penilaian kakitangan yang akan bergerak secara dalaman.

"Kedua-dua pihak akan memerlukan sokongan dan kaunseling ketika mereka bergerak ke tempat kerja yang berbeza dan pelarasan akan dilakukan di dalam persekitaran dan keperluan yang berbeza itu," katanya.

Ketika ditanya bagaimana 6,000 kakitangan yang dihentikan itu akan dikenal pasti, sumber itu berkata, proses itu sedang dijalankan oleh profesional sumber manusia yang kini mengkaji keperluan kerja selepas penstrukturan semula.

"Dengan mengambil pihak ketiga melakukannya, akan menghapuskan tindakan berat sebelah dan pilih kasih, dengan mengambil kira prinsip keadilan, ketelusan dan belas kasihan," tambahnya.

Satu konsep baharu di Malaysia, OPC adalah pelan holistik dan komprehensif pertama bagi membantu transisi kakitangan yang terlibat kepada pekerjaan baharu, kata sumber berkenaan.

Program penempatan ini adalah unik dalam konteks pemberhentian kakitangan di negara ini kerana ia mengambil kira semua aspek isu transisi kerjaya bagi menampung keperluan kakitangan terbabit, iaitu mereka yang mahu bersara, mereka yang mahu menjadi usahawan dan mereka yang mencari pekerjaan baharu.

Selain itu, individu juga diberikan pilihan memasuki CRC yang akan menawarkan mereka peluang untuk memahirkan diri mereka untuk pasaran pekerjaan dan pelbagai aktiviti keusahawanan berpotensi.

Dibiayai Khazanah, ia adalah yang pertana untuk syarikat berkaitan kerajaan dan akan menjadi contoh kepada pihak lain mengikutinya manakala kakitangan MAS yang beralih keluar daripada syarikat penerbangan itu akan menjadi penerima manfaat pertama program ini.