Skip to main content

Malaysia

KHOM Malaysia lancar Kempen Pejuang Negara, sasar bantu 1,000 wira

[TB]_KHOM Malaysia, Kempen Pejuang Negara 1_KHOM Malaysia
Majlis pelancaran Kempen Pejuang Negara 2026 di Menara MATRADE di sini hari ini. - Foto Astro AWANI/ Ikhwan Lee
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM57,200 sumbangan awal berjaya dikumpulkan Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) Malaysia menerusi sokongan penaja bagi menjayakan Kempen Pejuang Negara 2026 yang menyasarkan bantuan kepada 1,000 wira negara di seluruh Malaysia.

Pengasas dan Pengarah Misi KHOM Malaysia, Nik Marina Hussin berkata sumbangan itu menjadi titik permulaan kempen yang dilancarkan hari ini dan akan berlangsung sehingga 16 September, bersempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Beliau berkata kempen berkenaan bertujuan menzahirkan penghargaan dan kasih sayang kepada golongan yang telah mengorbankan masa, tenaga dan jiwa demi negara, termasuk mereka yang mengalami kecederaan ketika berkhidmat.

“Bagi atlet pula, mereka adalah individu yang menginspirasikan negara. Semangat kita naik kerana mereka dan kita mahu mereka tahu bahawa Malaysia menyayangi mereka serta tidak melupakan jasa mereka,” katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas pelancaran Kempen Pejuang Negara 2026 di Menara MATRADE di sini hari ini.

Nik Marina berkata kempen itu melibatkan tiga tunjang utama iaitu Pejuang Merdeka untuk veteran tentera dan polis, Pejuang Keselamatan bagi bekas anggota bomba serta Inspirasi Tanah Air untuk bekas atlet kebangsaan.

Pada majlis pelancaran hari ini, ujarnya seramai 40 individu menerima bantuan, masing-masing 10 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 10 pesara polis, 10 bekas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 10 bekas atlet kebangsaan.

“Bantuan bukan sahaja dalam bentuk pek makanan untuk meringankan beban, tetapi juga barangan perubatan kerana apabila pesara ini semakin berusia, mereka mula berdepan cabaran kesihatan dan kosnya agak tinggi sehingga memberi kesan kepada pendapatan atau pencen mereka.

“Jadi kita cuba membantu meringankan beban mereka,” katanya.

Nik Marina menambah KHOM Malaysia kini memperluaskan usaha itu kepada empat kumpulan pejuang negara menerusi kerjasama dengan Persatuan Veteran ATM (PVATM), Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Persatuan Pesara Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Beliau berkata penerima dipilih menerusi persatuan berkaitan bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, selain KHOM akan turun padang ke seluruh negara untuk mengenal pasti keperluan golongan terbabit.

“Kami akan bekerjasama dengan pihak korporat, mana-mana organisasi, persatuan malah individu yang ingin menyokong kempen ini dan kami sangat terbuka.

“Kita akan gerakkan pasukan ke negeri-negeri seluruh Malaysia untuk berjumpa veteran dan wira negara, selain berkongsi kisah serta pengalaman mereka menerusi media sosial dan laman sesawang KHOM Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kempen berkenaan merupakan peluasan daripada inisiatif Pejuang Merdeka yang diperkenalkan KHOM Malaysia pada 2023 bagi mengiktiraf dan membantu veteran ATM yang berdepan pelbagai cabaran pada usia lanjut.

Menurutnya, inisiatif itu mendapat sambutan menggalakkan dan diperluaskan pada 2025 apabila jumlah penerima bantuan meningkat daripada 220 veteran tentera pada tahun pertama kepada lebih 600 veteran pada tahun kedua.

Mengenai sasaran kempen pula, Nik Marina berkata bantuan akan disalurkan secara berkala berdasarkan keperluan penerima, termasuk bantuan perubatan kepada veteran berusia 60-an, 70-an dan 80-an.

Katanya, KHOM Malaysia berperanan sebagai organisasi yang cuba “merapatkan jurang” bagi memastikan kebajikan kumpulan terbabit terus terjaga.

Dalam pada itu, beliau berkata kisah pejuang-pejuang negara yang telah berkorban dan mengharumkan nama negara, antara perkara yang perlu sentiasa dihargai.

“Apabila stadium sudah ditutup, apa yang berlaku selepas itu (kepada atlet)? Kita meraikan kejayaan mereka, kita terinspirasi melihat Jalur Gemilang berkibar, tetapi kita juga perlu memikirkan kehidupan mereka selepas itu.

“Veteran polis, bomba dan tentera pula telah melalui macam-macam. Mereka adalah bapa kita. Bapa di rumah adalah pelindung kita, manakala mereka adalah pelindung negara. Mereka tidak mengenali kita tetapi sanggup menjaga kita,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap agar Kempen Pejuang Negara 2026 dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pengorbanan pejuang negara dan pada masa sama menggalakkan lebih banyak penyertaan sektor korporat menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Must Watch Video

Advertisement