Model Picanto dijual dalam 2 varian – masing-masing menggunakan transmisi manual dan automatik, di samping berkongsi enjin 1.2 liter dengan output 86hp dan 120Nm yang sama. Berdasarkan pengalaman memandu uji varian automatik, ini adalah sebuah kerta kecil yang cukup memuaskan hati. Ia memberikan kelincahan dan kemudahan yang hanya sebuah kenderaan kompak dapat berikan; ditambah pula dengan spesifikasi yang belum pernah dilihat pada sebuah segmen A (bukan kereta nasional) dengan harga bawah RM60,000.
Pada mulanya, kami menggangap bahawa varian dengan kotak gear manual pasti akan lebih menggembirakan kami. Kenapa tidak? Walaupun kotak gear auto-nya tidak mengecewakan (walaupun hanya 4-kelajuan) dan hampir langsung tidak menjadi beban kepada prestasi, kelebihan untuk memilih gear sendiri pastinya menjadi faktor lebih penting. Kan?
Jujurnya, ia tidaklah semudah itu. Gear manual 5-kelajuan (MT) ini memang lebih baik; berat klac serta lontaran gear terasa tepat, kuasa enjin memang lebih bebas digunakan, dan harga RM54,888 (kurang RM5,000 berbanding varian auto) menjadikan ia lebih menambat jiwa. Tetapi ada kelebihan Picanto 1.2L AT yang dirindui.
Banyak juga yang kurang berbanding varian yang lebih mahal, ini termasuk sistem audio 4 pembesar suara (AT datang dengan 6); tiada butang kawalan audio/Bluetooth pada stereng serta tiada keyless entry dan butang tekan-mula.
Dikala situasi memihak kepada varian auto, kita perlu lihat pula kepada peralatan yang lebih penting: keselamatan. Pihak Kia dan Naza-Kia tetap melengkapkan Picanto MT ini dengan segala spesifikasi keselamatan yang ada pada varian AT. Oleh itu, sistem pengurusan stabiliti (yang merangkumi kawalan stabiliti elektronik, traction control, ABS, dan Hill-Start Assist) masih ada.
Selain itu, 6 beg udara, sistem Isofix dan sensor parkir belakang juga adalah pemasangan standard.
Jadi markah sekarang kembali seri; dan persoalan mana varian yang lebih baik adalah bergantung kepada selera pembeli yang spesifik. Beza RM5,000 diantara kedua varian tidak cukup jika melihat kepada kelebihan yang ia bawa. Dan walaupun varian MT lebih menepati citarasa pemandu yang tidak mungkin akan berkompromi dengan kotak gearnya, saya sendiri berpendapat bahawa sebagai sebuah kereta kompak berciri mobiliti urban, kurang logik jika Picanto ini dibeli dengan hasrat untuk menjadi ‘raja litar’ atau menunjuk kebolehan memandu anda.
Sebagai kereta kedua sebuah keluarga kecil (atau kereta pertama orang bujang), model Picanto – tidak kira auto atau manual – sangat bersesuaian. Varian ini dipasang dengan tayar yang lebih kecil (165/60 R14 berbanding 175/50 R15 untuk kereta AT), namun tidak banyak kelebihan keselesaan yang diperolehi daripada ketebalan tayar yang ada. Kabinnya tidak luas, tetapi lebih besar daripada apa yang mungkin disangkakan jika dilihat daripada luar.
Kami uji kecekapan Kia Picanto 1.2L MT dari segi penggunaan petrol dan walaupun corak pemanduan agak berbeza dengan apa yang dijalankan untuk kereta Picanto AT sebelum ini, keputusannya sangat positif. Untuk itu, laporan kami boleh didapati di segmen Rencana Jimat Minyak Tak? (Akan datang)
Dari satu segi memang varian manual lebih menggembirakan; ia lebih murah, dan walaupun jika anda dapat menghargai kesenangan atau kemudahan yang diberikan kotak auto, gear manual Picanto ini tidak sukar untuk dikerjakan. Dan aspek keselematan kereta ini juga tidak terkalah dengan versi yang lebih mahal.
Cuma bagi saya sendiri, Picanto AT terasa lebih lengkap. Dan seorang pemandu di lokasi urban mungin secara ratanya akan lebih memihak kepada versi auto, sekaligus menambah lagi kelebihan yang diberikan oleh saiznya yang kecil. Yang pasti, tiada varian Picanto yang ‘salah’.
Melainkan jika anda memilih warna yang ‘selamat’. Alang-alang Kia berikan warna-warna yang ceria (seperti biru pastel kereta pandu uji kami), kenapa tidak gunakan sahaja?
- Ahmad ‘Cimatt’ Zulizwan
(Klik sini untuk galeri penuh)
Model | Kia Picanto 1.2 MT | |||||
Enjin | 1248cc, 4-silinder sebaris | |||||
Gear | 5-kelajuan manual | |||||
Pacuan | FWD | |||||
Prestasi | 86bhp @ 6,000rpm, 120Nm @ 4,000rpm | |||||
Keselamatan | Beg udara hadapan, beg udara sisi, beg udara tingkap, ESC, Traction Control | |||||
Harga | RM54,888 (atas jalan + insuran) |