MALAYSIA
Kilang dakwat di Kg Melayu Subang musnah dalam kebakaran
Sebuah kilang menghasilkan dakwat musnah dalam kebakaran di Kampung Melayu Subang, Selangor, tengah malam tadi.
Kebakaran yang bermula kira-kira 12 tengah malam itu turut merosakkan dua kilang perabot berdekatan.
Komander Operasi Bomba Selangor, Ali Maddia Bukri, berkata, 36 anggota bomba bersama lima jentera dari lima balai bomba dan penyelamat Kota Anggerik, Sungai Buloh, Shah Alam, Subang dan Andalas dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba sahaja jentera pertama bomba tiba kira-kira 10 minit selepas menerima panggilan kecemasan, kami dapati api telah marak ke hampir keseluruhan kilang berkenaan.
"Tekanan air yang rendah menyukarkan usaha kami untuk memadam kebakaran ini," katanya.
Menurutnya, dua lori tangki air digunakan bagi membekalkan air kepada anggota bomba bagi memadam kebakaran yang merebak dengan cepat berikutan terdapat banyak bahan pelarut disimpan di kilang itu.
"Kebakaran ini melibatkan kilang yang menyimpan solvent untuk membuat dakwat dan ia melibatkan kawasan seluas 900 meter persegi.
"Kilang ini terbakar sepenuhnya dan merebak ke beberapa kilang berdekatan. Kami berjaya mengawal kebakaran ini daripada merebak dalam tempoh 45 minit kemudian," ujarnya.
Kebakaran itu dapat dikawal sepenuhnya kira-kira jam 6 pagi tadi.
"Setakat ini, jumlah kerugian serta dan punca kebakaran masih disiasat. Ia dijangka diketahui dalam tempoh beberapa hari lagi," ujarnya lagi.
Tiada kecederaan dilaporkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami