Skip to main content

Malaysia

AGC bantah permohonan Abdul Azeez cabar keputusan LHDN batal perjanjian penyelesaian cukai

Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang didakwa membatalkan secara sepihak perjanjian penyelesaian cukai dan denda berjumlah RM4.8 juta. - Gambar fail
Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang didakwa membatalkan secara sepihak perjanjian penyelesaian cukai dan denda berjumlah RM4.8 juta. - Gambar fail

Advertisement

Ringkasan AI

  • Jabatan Peguam Negara membantah permohonan Abdul Azeez untuk semakan kehakiman terhadap LHDN berhubung pembatalan perjanjian penyelesaian cukai RM4.8 juta.
  • AGC menyatakan permohonan itu pramatang kerana tiada taksiran atau jumlah pembayaran baharu dikeluarkan oleh LHDN ketika permohonan difailkan.
  • Mahkamah Tinggi menetapkan 11 November untuk keputusan permohonan Abdul Azeez yang mahu perjanjian cukai tersebut dikekalkan dan dipatuhi LHDN.

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang didakwa membatalkan secara sepihak perjanjian penyelesaian cukai dan denda berjumlah RM4.8 juta.

Peguam Kanan Persekutuan Ng Siew Wee berkata permohonan itu adalah pramatang kerana surat yang dikeluarkan oleh LHDN kepada bekas Ahli Parlimen Baling itu pada 7 Ogos lepas menyatakan bahawa pengiraan cukai baharu akan dikeluarkan kemudian, dan ia tidak membangkitkan taksiran atau tuntutan jumlah pembayaran tertentu.

Beliau berkata surat itu memaklumkan bahawa hasil semakan telah mendedahkan penemuan dan fakta baharu mengenai pendapatan yang didakwa tidak dimasukkan dalam perjanjian tersebut, menyebabkan ia dibatalkan dan seterusnya, taksiran komposit dengan pengiraan cukai baharu akan dikeluarkan kemudian.

"Abdul Azeez tidak diarahkan oleh surat berkenaan untuk membayar cukai tambahan... tiada jumlah ditetapkan dan tiada taksiran baharu dikeluarkan pada masa permohonan ini dimulakan," katanya pada prosiding pendengaran permohonan bagi kebenaran difailkan Abdul Azeez di hadapan Hakim S. Indra Nehru di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Peguam Nicholas Mark Pereira, Datuk Amer Hamzah Arshad serta Tan Sri Dzulkifli Ahmad mewakili Abdul Azeez manakala AGC diwakili Ng dan Peguam Kanan LHDN Marina Ibrahim.

Dalam permohonan yang difailkan pada 6 Sept lepas, Abdul Azeez memohon mahkamah mengetepikan keputusan LHDN yang membatalkan secara sepihak perjanjian bertarikh 9 Feb 2022 dan notis taksiran komposit seterusnya bertarikh 22 Mac 2022, melibatkan tahun taksiran 2011 hingga 2020.  

Antara lain, beliau mendakwa perjanjian dan notis taksiran komposit itu adalah muktamad serta mengikut lunas undang-undang, dan memohon perintah mahkamah bagi memaksa LHDN mematuhi perjanjian tersebut.  

Abdul Azeez mendakwa LHDN telah menjalankan siasatan cukai terhadapnya pada akhir 2021 atau awal 2022, yang membawa kepada perjanjian bertarikh 9 Feb 2022.  

Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan mengenai penyelesaian cukai serta denda sebanyak RM4.8 juta bagi tahun taksiran 2011 hingga 2020, dan beliau telah menyelesaikan jumlah tersebut melalui ansuran seperti yang dipersetujui.  

Sementara itu, Nicholas berhujah perjanjian tersebut dibuat secara bertulis mengikut bidang kuasa di bawah Seksyen 96A Akta Cukai Pendapatan 1967 dan dilaksanakan melalui taksiran komposit rasmi.

"Kami berhujah bahawa di bawah Seksyen 96A(6) Akta Cukai Pendapatan, apabila taksiran komposit telah dibuat, ia adalah muktamad, konklusif dan tidak boleh dibatalkan begitu sahaja.

"Ini bukanlah surat yang ditulis oleh pegawai rendah... ia adalah perjanjian bertulis yang berasaskan lunas undang-undang selaras dengan kuasa di bawah Akta, yang kemudiannya dilaksanakan melalui taksiran rasmi. Ia ditandatangani sendiri oleh responden, Ketua Pengarah LHDN pada waktu itu," katanya.

Indra kemudian menetapkan 11 Nov ini untuk memutuskan permohonan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement