KENINGAU: Sebuah kilang perabot di Jalan Keningau-Apin Apin di sini, musnah dijilat api dalam kebakaran yang berlaku sekitar pukul 12 tengah malam tadi.

Kejadian itu turut mengakibatkan satu blok rumah pekerja dengan enam pintu hangus terbakar.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, satu panggilan kecemasan telah diterima pada jam 12.08 malam sebelum sekumpulan 16 anggota dikerahkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati api sedang marak dan tindakan pasukan bomba membuat operasi pemadaman menggunakan sumber air jentera dan pili bomba berhampiran.

"Operasi terkawal jam 12.59 tengah malam dan kebakaran membabitkan kilang terbakar 90 peratus dan satu blok rumah pekerja mempunyai enam pintu terbakar sepenuhnya," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Kenyataan itu turut memaklumkan, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kebakaran kilang berkenaan masih dalam siasatan.

Kata kenyataan itu, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 4.28 pagi tadi.