SEJAK selepas Pilihan Raya Umum ke-13 yang berakhir pada Ahad lalu, satu naratif yang cuba dipasakkan dalam kepala kita ialah betapa kaum Cina di negara ini bersikap perkauman apabila mengundi memilih Pakatan Rakyat dan meninggalkan Barisan Nasional.

Itu juga mesej sama yang diulang-ulang semasa kempen pilihan raya.

Malah di kalangan Pakatan Rakyat dan penyokongnya pun sama — mereka menuduh orang Melayu sebagai perkauman apabila bercakap tentang kepentingan orang Melayu, tentang pencapaian ekonomi dan pendidikan orang Melayu dan tentang bahasa Melayu serta agama Islam.

Apa faedah sebenarnya kita tuding-menuding siapa yang rasis atau siapa yang lebih perkauman di kalangan kita? Bukankah apabila satu jari menuding kepada orang lain, tiga jari lain menunjuk kepada diri kita sendiri?

Kita mengaku sajalah bahawa kita semua sebenarnya rasis. Tidak usah berdolak-dalik atau berlagak suci. Kita semua pernah berdosa dalam soal perkauman ini kerana kita selalu ada prasangka tentang orang lain.

Kata "kita" itu bukan hanya terhad merujuk kepada ahli politik dan pemimpin tetapi "kita" ertinya adalah kita semua.

Misalkan saja begini. Kalau di jalan raya dan ada sebuah kereta yang memasang lagu goyang kepala atau, dalam bahasa jalanannya, feng tau, mulut kita akan cepat berkata: "Aha! Ini budak Jinjang." Adakalanya kita juga jadi tuhan apabila membuat reaksi dengan penuh kepastian: "Aha! Ini MESTI budak Jinjang."

Kata "Jinjang" dalam konteks itu adalah kata sifat, bukan nama tempat. "Jinjang" memberi konotasi perkauman kerana daerah itu adalah kawasan petempatan orang Cina, dan kawasan itu ada sejarahnya yang tersendiri. Ia adalah kawasan yang dibuka semasa Darurat untuk menempatkan masyarakat Cina di bawah pelan penempatan semula kampung baru dalam usaha menangani gerakan komunis.

Misalkan juga begini. Cuba tanya kepada pemandu teksi di Kuala Lumpur ini, apa tanggapan mereka tentang orang Afrika? Ada beberapa tanggapan yang umum, antaranya, pertama, semua mereka itu orang Nigeria dan kedua, semua mereka ganas, kasar dan terlibat dengan jenayah.

Ada beberapa kesilapan tentang tanggapan itu. Pertama, bukan semua orang kulit hitam warga Nigeria. Benua Afrika itu bukan hanya ada sebuah negara Nigeria sahaja. Tanggapan bahawa orang kulit hitam adalah warga Nigeria bukan saja salah tetapi menunjukkan kebodohan sendiri. Keduanya, watak negatif ada pada semua kaum.

Watak manusia bukan DNA eksklusif mana-mana kaum — sama sepertimana bukan semua orang Islam teroris, bukan semua orang Melayu malas dan miskin, dan bukan semua orang Cina tamak dan kaya. Ada orang Melayu yang rajin dan kaya; ada orang Cina yang jujur dan miskin.

Ketika sebahagian naratif selepas PRU-13 sekarang ini tertumpu kepada persoalan perkauman, saya teringat kepada kempen iklan untuk Petronas yang pernah dikerjakan oleh Yasmin Ahmad — betapa suci dan bersihnya jiwa serta pemikiran kanak-kanak yang tidak tahu erti perkauman.

Kita yang dewasa ini bukan saja berdosa kerana bersikap perkauman selebihnya, kita juga berdosa kerana meracuni pemikiran orang lain untuk ikut sama jadi perkauman.