KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin Abu Bakar menzahirkan rasa puas hati selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam bersetuju untuk memohon maaf dan membayar pampasan yang tidak didedahkan kepada bekas Menteri Kesihatan itu.

“Saya berterima kasih kepada Yang Arif Hakim (Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan), saya berpuas hati dia (Lokman) minta maaf dan setuju untuk bayar seperti yang dipersetujui,” kata Khairy ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Ia membabitkan kes saman Khairy terhadap Lokman, yang didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah berhubung isu vaksin Covid-19 pada dua tahun lalu.

Khairy Jamaluddin yang lebih dikenali sebagai KJ berada di mahkamah dengan memakai kot berwarna hitam, namun Lokman tidak hadir dan hanya diwakili peguamnya, Logen Eskander Abdullah.

Semasa prosiding, peguam, Abdul Rashid Ismail yang mewakili bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, pada prosiding lalu mahkamah menetapkan Isnin untuk perbicaraan kes anak guamnya selaku plaintif terhadap Lokman sebagai defendan.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, pihak-pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes.

“Lokman bersetuju untuk memadamkan tujuh hantaran membabitkan gambar, video dan kenyataan di laman Facebook dan YouTubenya.

“Dia juga tidak boleh menerbitkan atau berkongsi semula kenyataan fitnah terbabit serta menyiarkan permohonan maaf di dua laman sosial ini dalam Bahasa Melayu dan Inggeris,” katanya.

Beliau berkata, defendan turut bersetuju untuk membayar pampasan pada kadar yang tidak didedahkan di mahkamah sebagaimana dipersetujui kedua-dua pihak.

Sementara itu, Logen kemudiannya mengesahkan penghakiman penyelesaian terbabit telah dicapai.

Mendengar perkara itu, Mohd Johan berkata, mahkamah telah selesai merekodkan penghakiman persetujuan secara baik.

“Alhamdulillah, terima kasih dan tahniah (semua pihak), mahkamah menghargai usaha kedua-dua pihak untuk menyelesaikan kes, tiada perintah terhadap kos,” kata hakim ini.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Logen berkata, anak guamnya akan membuat permohonan maaf kepada plaintif dalam masa 30 hari.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Khairy, 48, yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Lokman memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di Facebook 'Lokman Noor Adam Official' pada 6 Januari lalu, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan Youtube 'Lokman Adam' pada 10 Januari.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dia telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.

Menurut plaintif, penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integritinya terjejas teruk serta mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasinya direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras. - Sinar Harian