KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan merangka satu rangka kerja baharu antara kedua-dua kementerian tersebut untuk melihat secara keseluruhan aset-aset dan juga sumber yang ada dikedua -dua kementerian.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia bagi mengoptimumkan penggunaan aset-aset terbabit terutamanya ketika mendepani krisis banjir.

"Memang sudah ada kerjasama tapi saya dan Datuk Seri Hishamuddin setuju kerjasama (sedia ada) dipertingkatkan pada satu peringkat yang lebih tinggi dengan kerangka yang lebih jelas, dengan misi yang lebih jelas dan dengan kerjasama yang lebih erat," jelas Khairy dalam sidang media bersama yang diadakan di sini hari ini.

Khairy sebelum itu menyertai Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengadakan lawatan dan menyempurnakan Program Inisiatif Kesihatan Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini hari ini.

Sementara itu Hishamuddin menegaskan segala kelemahan yang dikenal pasti dalam bencana banjir tahun lalu akan diperbaiki bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada kali ini.

Jelasnya segala aset dan juga tenaga membabitkan Angkatan Tentera Malaysia kini berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi krisis banjir yang mungkin akan melanda negara tidak lama lagi.

Menurutnya, dalam masa yang sama pihak ATM mengharapkan agar setiap maklumat berkenaan banjir dapat disalurkan ke saluran yang betul dalam memastikan setiap bantuan yang diperlukan nanti sampai dalam masa dan tempat dengan segera.

"Yang penting semua pihak yang berkenaan bekerjasama rapat dengan kita. Berikan maklumat..kalau tak sampai kat saya atau tak boleh hubungi secara langsung dengan saya (boleh) dengan KJ, kalau tak dengan KJ dengan KSU (Ketua Setiausaha) saya, kalau tak boleh (juga), gunakan saluran yang sedia ada kerana ini melibatkan nyawa," katanya.

Mindef dan KKM tetap teruskan persiapan banjir dalam apa juga keadaan


Sementara itu dalam perkembangan lain, Hishammuddin menjelaskan Kementerian Pertahanan ketika ini mempunyai perancangan rapi untuk meningkatkan tahap perkhidmatan serta kemudahan kesihatan ATM di seluruh negara.

Untuk itu katanya kesemua lima Hospital Angkatan Tentera (HAT) akan melalui proses selenggaraan dan penambahbaikan.

Ia bakal melibatkan HAT Tuanku Mizan, 94 HAT Kem Terendak, 96 HAT TLDM Lumut, HAT Wilayah Kota Kinabalu dan Hospital Tentera Darat (HTD) Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

Malah kesemua 19 Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT), 48 Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) dan 40 Pusat Pergigian Angkatan Tentera (PGAT) akan melalui proses selenggaraan dan penambahbaikan.

Bagi tujuan ini katanya, sebanyak RM13.3 juta telah diperuntukkan untuk tujuan selenggaraan dan RM61 juta untuk tujuan ubatan serta peralatan perubatan.

ATM juga akan melaksanakan pembelian dua unit Hospital Medan tambahan dengan kos keseluruhan RM47 juta dan sedang dalam usaha melaksanakan perolehan 50 unit Ambulans Medan dengan kos RM27 juta.

Beliau turut berterima kasih kepada Amerika Syarikat kerana menerusi hubungan erat Malaysia-Amerika Syarikat, Medical Command, USINDOPACOM telah memuktamadkan kerjasama dengan ATM di dalam bidang kesihatan bagi tempoh lima tahun.