KKM batal notifikasi produk kosmetik beracun

KKM memaklumkan merkuri dilarang di dalam kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi produk kosmetik Saqa Glowing Turmeric Night Treatment Cream selepas dikesan mengandungi racun berjadual, merkuri dan tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.
Ringkasan AI
- KKM batalkan notifikasi produk kosmetik Saqa Glowing Turmeric Night Treatment Cream kerana mengandungi racun berjadual, merkuri yang boleh membahayakan kesihatan.
- Merkuri dalam kosmetik boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, sistem saraf, gangguan perkembangan otak kanak-kanak, serta masalah kulit.
- KKM menekankan orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik tersebut serta syarikat yang melanggar boleh dikenakan hukuman denda dan penjara mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Susulan itu, KKM menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan kosmetik terbabit.
"Penjual dan pengedar kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran kosmetik tersebut dengan serta-merta.
"Penjualan dan pengedaran kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," menurut kenyataan itu.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan berkenaan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan hingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


