KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan pemberian dos penggalak pertama untuk kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira perkembangan semasa penularan varian baharu COVID-19.

“Varian Omicron lebih mudah berjangkit dan merebak dengan lebih cepat selain berisiko menyebabkan lebih banyak kemasukan ke hospital dan kematian.

“Kekebalan sistem imun yang berkurangan dari semasa ke semasa, ditambah dengan pengelakkan imun oleh varian Omicron, akan menyebabkan keberkesanan vaksin juga berkurang.

“Kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun dengan komorbiditi atau imunokompromi (imun yang lemah) adalah kumpulan kanak-kanak yang berisiko mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk,” katanya dalam sidang akhbar khas di salah sebuah hotel di sini pada Rabu.

Khairy Jamaluddin dalam masa sama turut menjelaskan, pemberian vaksin COVID-19 kini turut ditawarkan kepada kanak-kanak berumur enam bulan hingga lima tahun dengan komorbiditi atau imunokompromi yang teruk.

Jelasnya, KKM telah memulakan proses perolehan vaksin COVID-19 dengan formulasi khusus untuk kumpulan kanak-kanak ini. - Sinar Harian