KUALA LUMPUR: Penjualan tiket bas dan penerbangan ke Singapura di bawah Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) darat dan udara digantung sementara bermula esok sehingga 20 Januari depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ini berikutan Kementerian Kesihatan Singapura mengeluarkan kenyataan berhubung kewujudan satu kluster tempatan COVID-19 membabitkan tiga kes positif pada 20 Disember lalu. 

"Hasil ujian lanjut yang dijalankan mendapati dua daripadanya menunjukkan kemungkinan varian Omicron, sementara keputusan bagi lain-lain kes masih lagi belum selesai.

"Ketiga-tiga kes ini tidak mempunyai sebarang sejarah perjalanan ke luar negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Penjualan tiket untuk perjalanan VTL darat dan VTL udara digantung berkuat kuasa 23 Dis hingga 20 Januari.

“Pengembara yang telah membeli tiket dan memenuhi syarat perjalanan VTL darat dan udara boleh meneruskan perjalanan mereka di bawah inisiatif VTL ini.

“Penjualan tiket untuk perjalanan VTL akan disambung semula pada 21 Jan selepas penilaian risiko berhubung situasi semasa COVID-19 di Malaysia dan Singapura dilakukan.

“Bagaimanapun, kuota tiket akan dikurangkan daripada kuota sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menambah Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah dimaklumkan mengenai arahan perjalanan Malaysia-Singapura.

“Kementerian Kesihatan menggesa semua pelancong untuk bertanggungjawab dan mengikut syarat dan prosedur operasi standard yang digariskan untuk VTL.

“Lakukan ujian kendiri COVID-19 secara rutin untuk memastikan keselamatan anda sendiri dan mengurangkan risiko menjangkiti individu lain,” kata Khairy.