Ringkasan AI
- Seorang pegawai TUDM dan empat orang awam ditahan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan suspek sindiket dadah rentas sempadan kepada 18 orang.
- Lapan individu telah didakwa di mahkamah, manakala lima suspek masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut mengenal pasti dalang utama sindiket.
- Sindiket dipercayai menggunakan aset TUDM untuk menyeludup dadah dari Semenanjung ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa.
KUALA LUMPUR: Seorang lagi pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan empat orang awam ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kegiatan sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan menggunakan aset ketenteraan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan setakat ini seramai 18 orang.
Beliau berkata, tangkapan itu hasil risikan berterusan dan soal siasat terhadap 13 suspek yang ditahan sebelum ini dalam usaha mengenal pasti dalang utama di sebalik kegiatan sindiket berkenaan.
“Pegawai TUDM berusia 29 tahun yang bertugas di TUDM Tawau, Sabah itu ditahan di pekarangan pejabat Cawangan Penyiasatan Jenayah Zon Tengah, Pangkalan Udara Subang, Selangor kira-kira 6.40 petang semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan penahanan itu, Hussein berkata JSJN Bukit Aman melancarkan beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang kira-kira jam 10.20 malam, sebelum menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 28 tahun dan seorang lelaki warga China berusia 30 tahun.
Beliau berkata semakan mendapati ketiga-tiga suspek lelaki tempatan itu masing-masing mempunyai antara satu hingga dua rekod jenayah lampau, dengan seorang daripadanya pernah ditahan mengikut peruntukan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).
“Daripada kesemua 18 suspek yang ditahan yang terdiri daripada lapan pegawai dan anggota TUDM serta 10 orang awam, lapan individu telah dituduh di mahkamah di Kuala Lumpur dan Selangor hari ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Lima suspek masih dalam tahanan reman, manakala siasatan dan risikan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti dalang utama serta individu lain yang terlibat dalam rangkaian sindiket itu,” katanya.
Sebelum ini, kegiatan sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan itu terbongkar selepas 96.64 kilogram dadah disyaki metamfetamina bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kilogram bahan kimia ditemukan ketika hendak dimuatkan ke dalam sebuah pesawat TUDM di Pangkalan Udara Subang.
Susulan penemuan itu, beberapa siri serbuan dilakukan di Lembah Klang, Labuan dan sebuah pangkalan udara di Tawau, Sabah, yang membawa kepada penahanan beberapa suspek.
Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Julai lalu dengan mengeksploitasi kemudahan pengangkutan udara tentera untuk menyeludup dadah dari Semenanjung ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, termasuk Filipina dan Indonesia.
– BERNAMA