Ringkasan AI
- Enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan dilantik dan mengangkat sumpah di hadapan Tuanku Muhriz di Istana Besar Seri Menanti hari ini.
- Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berharap pelantikan Exco baharu menamatkan kemelut politik yang melanda Negeri Sembilan.
- Ahmad Zahid menyeru rakyat Negeri Sembilan menghormati dan mendukung keputusan yang telah diperkenankan oleh pihak istana demi kestabilan negeri.
BAGAN DATUK: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap pelantikan enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan hari ini menamatkan kemelut politik yang melanda negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata UMNO dan BN menjunjung kasih atas perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berhubung pelantikan barisan Exco berkenaan.
Ahmad Zahid berkata pelantikan itu membolehkan kerajaan negeri segera melunaskan tanggungjawab termasuk mengadakan sidang khas belanjawan di Dewan Undangan Negeri (DUN) serta menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
"Paling penting ialah rasa keyakinan rakyat keseluruhannya kepada kerajaan atas perkenan Tuanku ini dan saya yakin kemelut telah berakhir dan kita harap tidak akan timbul sebarang permasalahan baharu selepas ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan 26K Huffaz 2026 dan Bagan Datuk Bermunajat di Masjid Tuminah Hamidi di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata lima kepimpinan utama parti menghadap Tuanku Muhriz semalam dalam suasana tenang bagi mencari penyelesaian terbaik demi kestabilan negeri itu.
Sesi menghadap turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki serta Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.
Sehubungan dengan itu, Ahmad Zahid menyeru seluruh rakyat di Negeri Sembilan agar menghormati serta mendukung segala keputusan yang telah diperkenankan oleh pihak istana.
"Perbincangan secara tenang telah diadakan dan apa yang telah diputuskan oleh Tuanku itu adalah satu keputusan yang terbaik dan rakyat keseluruhannya harus mendukung apa yang telah diperkenankan dan titah Tuanku," katanya.
Terdahulu, enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu mengangkat sumpah sebagai barisan Exco Negeri Sembilan di hadapan Tuanku Muhriz di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini.
Mereka ialah Suhaimi Aini (Kota), Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang), Ridzuan Ahmad (Gemas), Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang), Mohamad Qayyum Abd Jalil (Senaling) dan Koh Kim Swee (Repah).
Pelantikan itu menyaksikan perubahan komposisi pentadbiran berbanding 10 barisan Exco sebelum ini susulan kemelut politik di negeri berkenaan selepas 24 ADUN BN dan Perikatan Nasional (PN) mencapai kesepakatan mematuhi keputusan kepimpinan parti masing-masing.
-- BERNAMA