Skip to main content

Malaysia

KKM jalin kerjasama strategik banteras penyeludupan ubat tidak sah

KOTA KINABALU, 4 Sept - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan ucapan pada majlis Bual Bicara Kesihatan di Wisma Wanita Kota Kinabalu hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Dzulkefly berkata kedudukan geografi Sabah dan Sarawak menjadikan dua negeri itu turut berhadapan dengan ancaman penyeludupan rentas sempadan menerusi lorong tikus dan pintu sempadan darat serta laut untuk membawa masuk ubat terlarang. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

TUARAN: Kementerian Kesihatan (KKM) memperketat kawalan kargo dan pintu masuk udara menerusi kerjasama strategik dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bagi menangani aktiviti penyeludupan ubat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu bertujuan memutuskan rantaian sindiket penyeludupan ubat tidak sah daripada memasuki pasaran tempatan dan mencerminkan komitmen kerajaan memastikan hanya produk farmaseutikal selamat, berkualiti serta berkesan kepada pengguna.

Beliau berkata kedudukan geografi Sabah dan Sarawak menjadikan dua negeri itu turut berhadapan dengan ancaman penyeludupan rentas sempadan menerusi lorong tikus dan pintu sempadan darat serta laut untuk membawa masuk ubat terlarang.

“KKM tidak berdiam diri. Kita sedang memperketat kawalan kargo dan pintu masuk udara menerusi kerjasama strategik JKDM dan AKPS bagi mematahkan rantaian sindiket ini sebelum ubat tiba di rak kedai,” katanya semasa berucap pada program Kembara Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) Zon Borneo di sini hari ini. 

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor merasmikan program itu.

Berdasarkan Statistik Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Dzulkefly berkata nilai rampasan ubat tidak sah di seluruh negara mencecah lebih RM132.4 juta melibatkan lebih 64,000 produk dari 2023 hingga 2025.

Beliau berkata kebanyakan produk dirampas ialah suplemen kesihatan tidak berdaftar dan jamu dicampur dengan steroid berbahaya seperti dexamethasone serta ubat kurus mengandungi sibutramine.

Di Sabah, Dzulkefly berkata rampasan ubat tidak sah bernilai hampir RM4.507 juta dalam tempoh tiga tahun, iaitu RM984,277 pada 2023, RM2.89 juta (2024) dan RM633,639 (2025). 

Dzulkefly berkata perkembangan pesat teknologi digital dan platform e-dagang mewujudkan cabaran baharu yang mendedahkan masyarakat kepada risiko serius jika tahap kesedaran berhubung isu itu masih rendah.

“Saya menyeru rakyat Malaysia menjadikan budaya semak sebelum beli sebagai amalan wajib. Jangan mudah terperdaya dengan harga murah yang tidak munasabah atau testimoni magis di media sosial.

“Sentiasa pastikan ubat mempunyai nombor pendaftaran MAL dan pelekat Hologram FarmaTag yang tulen dan gunakan aplikasi MyUBAT untuk pengesahan sebelum membuat bayaran,” katanya.

Selain itu, Dzulkefly menggesa ketua kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung serta pemimpin adat di Sabah menjadi duta TOBaTS dan segera melaporkan kepada KKM penjualan ubat mencurigakan, khususnya antibiotik di kedai runcit.

Program Kembara TOBaTS Zon Borneo 2026 ialah kesinambungan siri jelajah kempen bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai ubat tidak sah termasuk yang tidak berdaftar KKM, tiruan, dicampur dengan bahan terlarang atau racun, diperoleh daripada sumber tidak sah dan diimport tanpa kelulusan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement