Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sebanyak 601 kes positif COVID-19 di negara ini melibatkan warga asing, setakat Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, seramai 356 orang sedang menerima rawatan, 242 kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang, manakala tiga kematian dicatatkan.

“Mereka termasuk pelancong, pekerja asing, golongan pelarian dan pemohon suaka.

“Daripada jumlah itu, negara utama dengan 108 kes adalah warganegara Indonesia, 104 kes (Filipina), 63 kes (Bangladesh), 60 kes (India) dan 51 kes (Pakistan)," katanya dalam sidang media harian, di sini, pada Jumaat.

BACA: 201 kes sembuh, dua lagi kematian akibat COVID-19

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata KKM turut menasihati majikan dan indusri yang menggunakan tenaga kerja warga asing agar mengambil langkah ketat dalam usaha mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja berkenaan.

Jelas beliau, KKM juga sedang menggembeleng tenaga bersama Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pemohon suaka turut terlibat dalam aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan oleh kerajaan.