GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menilai semula semua kontrak berkaitan helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) susulan nahas di Long Lellang, Baram, Sarawak, Selasa lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab berkata penilaian dan semakan itu merangkumi semua aspek kontrak tersebut termasuk perkara berkaitan FDS selaras dengan arahan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
"Sebagaimana yang telah disebutkan dalam kenyataan oleh Yang Berhormat Menteri, kita akan menilai semula semua kontrak yang terkait dengannya, semua sekali akan dinilai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Trauma Malaysia (MTC) 2026, di sini hari ini.
Dr Mahathar berkata kadar bayaran elaun kepada petugas FDS juga akan dinilai dalam semakan yang dijalankan.
Pada 10 Sept lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan berkata KKM akan melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap keseluruhan kerangka penyampaian perkhidmatan FDS di Sarawak termasuk aspek kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, keperluan liputan dan keberkesanan model penyampaian perkhidmatan sedia ada.
Semua operasi FDS di Sarawak juga ditangguhkan buat sementara waktu bagi membolehkan siasatan dan semakan menyeluruh dilakukan terhadap mekanisme keselamatan serta operasinya.
Langkah itu diambil susulan nahas membabitkan sebuah helikopter yang digunakan bagi FDS di Long Lellang pada Selasa dan mengorbankan kesemua lima individu termasuk empat petugas KKM.
-- BERNAMA