KUALA LUMPUR:Tempoh kuarantin wajib selama 14 hari bagi individu yang sedang menjalani proses itu akan dipertimbangkan untuk dipendekkan kepada 10 hari susulan perubahan yang berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini pihaknya sedang menyelesaikan isu logistik bagi melaksanakan perkara itu. 

"Mereka yang sedang menjalani kuarantin akan dipertimbang untuk tempoh kuarantin 10 hari. Kita sekarang ada isu logistik dan kita akan jalankan ujian (COVID-19) pada hari kelapan atau kesembilan dan kalau keputusan ujian negatif barulah kita lepaskan," katanya dalam sidang media pada Isnin. 

BACA: Tempoh kuarantin wajib dikurangkan dari 14 kepada 10 hari - Dr Noor Hisham

Katanya lagi, tempoh kuarantin 10 hari disifatkan kurang risiko berbanding tujuh hari. 

"Ini adalah keputusan dasar iaitu apabila kita lihat kepada bukti saintifik, iaitu kuarantin 14 dan 10 hari, perubahannya tak banyak dan risikonya masih boleh diterima iaitu kurang... berbanding dengan kuarantin tujuh hari.

"Kita guna data saintifik untuk menyokong kuarantin 10 hari dan ia dilaksanakan hari ini," ujarnya. 

Pada Ahad, Dr Noor Hisham berkata, tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta pengurusan kontak rapat di Malaysia dikurangkan daripada 14 hari kepada 10 hari berkuat kuasa hari ini.