KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan merangka dan melaksanakan perancangan terbaik berhubung kesesakan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, usaha itu bagi menangani masalah tersebut selain melancarkan proses saringan COVID-19.

"Semalam selepas ke KLIA,  kembali ke pejabat KKM Putrajaya bermesyuarat dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohd Rabin Basir, dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Dr Norhayati Rusli bagi merangka serta melaksanakan perancangan seterusnya untuk menangani situasi terkini.

"Selesai mesyuarat, kami kembali semula ke KLIA pada jam 3.00 pagi dan ke KLIA2 pada jam 5.00 pagi untuk memastikan kelancaran jentera petugas KKM," katanya dalam ciapan di akaun Twitternya di sini pada Isnin.

Terdahulu, sejumlah besar pengembara dari Sabah yang tiba KLIA dan KLIA2 terpaksa menunggu lebih tiga jam bagi menjalani saringan COVID-19.

Kebanyakan mereka pulang untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam.

Kesesakan berlaku selepas KKM mewajibkan semua pengembara dari Sabah menjalani saringan COVID-19 bermula hari ini.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham juga memberitahu, KKM telah menambah bilangan kakitangan di KLIA dan KLIA2 bagi menguruskan proses saringan pengembara yang pulang dari Sabah.

Dalam pada itu, Dr Adham turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyelesaikan isu berkenaan.