BAGAN SERAI: Kementerian Kesihatan sedang menyiasat dakwaan bahawa berlaku kesilapan dalam pemberian jenis vaksin COVID-19 bagi suntikan dos kedua kepada seorang penerima di Sik, Kedah pada Khamis lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata meskipun belum ada laporan dibuat namun pihaknya memandang serius perkara itu dan sedang menunggu hasil siasatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

"Saya pun dapat berita daripada akhbar dan saya percaya siasatan sedang dijalankan. Kita perlu buat siasatan kerana dalam memberikan suntikan vaksin, petugas hendaklah berhati-hati, tengok dulu botol suntikan dan tunjuk jenis vaksin kepada penerima supaya tidak berlaku kesilapan," katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bagan Serai di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan seorang wanita bahawa ibunya tersalah menerima vaksin jenis Sinovac untuk dos kedua di PPV Dewan Al-Hana di Sik.

Nur Jannah Ramli, 30, dilaporkan berkata ibunya Melur Ahmad, 58, dari Kampung Selamat B telah disuntik vaksin jenis Sinovac bagi dos kedua sedangkan yang pertama adalah Pfizer.

Dr Noor Azmi berkata beliau menghargai dan memahami keadaan petugas yang terpaksa menyuntik beratus-ratus orang namun mereka perlu memberikan perhatian semasa menjalankan tugas.

Beliau berkata suntikan vaksin campuran Pfizer dan Astrazeneca pernah dilaksanakan di United Kingdom dan ia dilaporkan tidak mendatangkan sebarang kesan yang memudaratkan berdasarkan kajian.

"Kita belum mengamalkan dasar campuran vaksin yang berlainan di negara ini malahan kita sedang mengkaji adakah kita patut memberikan vaksin ketiga," katanya.

Terdahulu, Dr Noor Azmi menyampaikan sumbangan tabung oksigen kepada seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit saraf menyebabkan otaknya mengecil disebabkan kandungan air.

Nor Baini Mohamad Yusof, 41, berkata anaknya Nor Qaseh Raudah Abdul Rahim, 9, menghidap penyakit saraf dan sawan sejak dilahirkan serta tidak boleh bergerak dan terpaksa bergantung kepada tabung oksigen selain perlu diberikan susu khas berharga RM80 sekilogram bagi rawatan sehingga kini.

"Anak saya sentiasa mendapatkan rawatan di Hospital Taiping dan Pulau Pinang mengikut jadual yang diberikan," katanya sambil berterima kasih kepada Dr Noor Azmi atas bantuan yang diberikan.

-- BERNAMA