PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan untuk menambah segera 1,190 petugas kesihatan dan 5,000 sukarelawan bagi menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan di Selangor, Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata KKM turut menggerakkan 417 petugas kesihatan dari negeri lain ke tiga negeri terbabit bagi menangani peningkatan pandemik itu.

Beliau berkata bagi menambah baik pengurusan pesakit di hospital, KKM menambah kapasiti katil di semua hospital di Lembah Klang iaitu daripada 3,412 unit kepada 3,777 di Selangor manakala daripada 795 unit kepada 1,129 di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Selain itu, kerjasama dengan tiga hospital pengajar universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia bagi mengoptimumkan penggunaan katil di tiga hospital tersebut.

"(Ini) menjadikan keseluruhan katil bagi perawatan COVID-19 di Lembah Klang melebihi kapasiti 5,000 unit," katanya pada sidang media khas pelan strategi Pengurusan Pandemik COVID-19 di Lembah Klang hari ini.

BACA: COVID-19: 11,079 kes baharu, angka tertinggi negara sejak pandemik bermula

BACA: Varian Delta: KKM jangka kes COVID-19 terus meningkat dalam tempoh 2 minggu

Dr Adham juga berkata KKM akan turut memperluas skop perkhidmatan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0 sebagai Hospital Bersepadu MAEPS yang berfungsi sama seperti hospital kerajaan lain.

Beliau berkata PKRC MAEPS 2.0 akan memberi perawatan pemulihan kecemasan kes COVID-19 kategori 3 dan 4 dengan menambah kapasiti bekalan oksigen kepada lebih 1,500 pesakit.

"Selain itu, KKM akan menambah kapasiti rawatan kecemasan khususnya di Selangor dengan meningkatkan jumlah katil kecemasan daripada 486 kepada 591 katil.

"KKM turut menambah kapasiti perawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital daripada 280 katil kepada 349 di Selangor manakala bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya, daripada 90 kepada 117 katil," katanya.

Dr Adham berkata buat masa ini, Selangor memiliki 6,391 bekalan oksigen dengan pencapaian penggunaan sebanyak 3,413 atau 53 peratus.

"Bagi meningkatkan kapasiti (bekalan) oksigen di PKRC MAEPS 2.0 yang dijadikan sebagai Hospital Bersepadu MAEPS dalam perawatan COVID-19, penambahan sebanyak 1,000 tangki oksigen serta 1,000 pemekat oksigen telah pun dilakukan," katanya.

-- BERNAMA