KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti pelaksanaan sijil cuti sakit digital atau e-MC sebagai langkah memperkukuh integriti pengeluaran sijil perubatan (MC) serta mengurangkan risiko penyalahgunaan pada masa hadapan.
Respons Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad itu susulan insiden melibatkan penahanan seorang jururawat yang direman bagi membantu siasatan kes penjualan sijil cuti sakit yang disyaki tidak sah.
“Mungkin juga ini adalah satu isyarat untuk kita mula bergerak ke arah digital ataupun e-MC. Saya akan arahkan Bahagian Kesihatan Digital membuat kajian dengan kadar segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di ibu negara selepas menghadiri Program Cik Era Naik MRT Putrajaya pada Sabtu.
Mengulas isu sama, Dzulkefly berkata, kementerian tidak akan berkompromi sekiranya terdapat pelanggaran etika atau salah laku dalam pengeluaran sijil perubatan.
“Apa pun, kes itu dalam siasatan polis dan kita izinkan polis membuat siasatan. Kami tidak akan berkompromi andainya berlaku kesalahan dari sudut etika dan salah laku. Jika ada perkara yang serius, pastinya kita akan ambil tindakan.
Beliau turut menegaskan, hanya pengamal perubatan yang merawat pesakit dibenarkan mengeluarkan sijil cuti sakit.
“Seorang jururawat tidak boleh lakukan hal sedemikian. MC hanya boleh diberikan oleh seorang attending physician ataupun pegawai perubatan. Itu satu perkara yang jelas,” tambahnya.
Terdahulu, lima individu termasuk seorang jururawat direman antara tiga hingga empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penjualan dan pembelian sijil cuti sakit (MC) yang disyaki tidak sah.
Hasil siasatan awal mendapati MC berkenaan dipercayai dijual pada harga antara RM50 hingga RM200 sekeping.