Arahan dan Penentuan berkenaan penggunaan spektrum jalur frekuensi 700MHz, 900MHz, dan 2600MHz telah diarahkan dibatalkan dan dikaji semula dalam kadar segera.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira isu teknikal, undang-undang dan ketelusan pelaksanaannya.

"18 instrumen termasuk Arahan dan Penentuan berkenaan penggunaan spektrum jalur frekuensi 700MHz, 900MHz, dan 2600MHz telah dibentangkan kepada saya.

"Atas dasar isu-isu teknikal, undang-undang dan perlunya mengikut proses yang telus, saya telah mengarahkan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membatalkan Arahan dan Penentuan tersebut serta mengkaji semula instrumen-instrumen tersebut dengan kadar segera," kata beliau dalam satu kenyataan media.

Kerajaan, tambah beliau, sentiasa komited dalam usaha untuk membangunkan negara serta
memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam teknologi dan telekomunikasi.

Sumber spektrum merupakan satu aset negara yang diuruskan oleh MCMC, di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Pengurusan dan penguntukan spektrum ini penting untuk pembangunan negara melalui perkembangan pelbagai sektor seperti perkhidmatan sektor telekomunikasi, penyiaran, sains dan teknologi, kesihatan, maritim dan sebagainya.

Kenyataan media Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.