Skip to main content
Advertisement

Malaysia

KKR cadang bina lorong memotong di Jalan Bintulu-Bakun

Bintulu
KKR memaklumkan enam lokasi dicadangkan adalah di sekitar (kilometer) KM16, KM39, KM49, KM75, KM106 dan KM109, dengan panjang keseluruhan kira-kira 12 kilometer. - Gambar/ KKR
Advertisement

KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengemukakan cadangan pembinaan lorong memotong di enam lokasi di sepanjang Jalan Bintulu-Bakun.

KKR dalam kenyataan hari ini memaklumkan enam lokasi dicadangkan adalah di sekitar (kilometer) KM16, KM39, KM49, KM75, KM106 dan KM109, dengan panjang keseluruhan kira-kira 12 kilometer.

“Cadangan tersebut dikemukakan untuk pertimbangan mengikut Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ke-13 (RP2, RMKe-13) dengan anggaran kos keseluruhan RM216 juta.

“Skop cadangan meliputi pembinaan lorong memotong jenis Side-by-Side Passing Lanes (SSPL), kerja-kerja menaik taraf struktur berkaitan serta pemasangan lampu jalan di laluan tersebut,” menurut KKR.

KKR menjelaskan keperluan penyediaan lorong memotong itu mengambil kira keadaan sebahagian jajaran jalan tersebut yang berbukit dan berselekoh, jarak penglihatan terhad di lokasi tertentu serta pergerakan kenderaan berat yang perlahan.

Menurutnya, penyediaan lorong memotong itu akan menyediakan ruang lebih sesuai untuk pengguna memotong dengan selamat, di samping membantu meningkatkan kelancaran dan keselesaan perjalanan.

“Jalan ini juga mempunyai kepentingan besar kepada masyarakat setempat kerana laluan ini memberi manfaat kepada lebih 30 rumah panjang dan perkampungan, selain menjadi antara laluan utama dari Bintulu dan Sebauh menuju ke Sungai Asap, Belaga, Empangan Hidroelektrik Bakun dan Empangan Hidroelektrik Murum,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement