Nasim Sdn. Bhd. telah merasmikan pusat servis terbaharu mereka di Klang, iaitu kemudahan sepertinya yang ke-43 di seluruh Malaysia, 17 daripadanya di Lembah Klang.

Menurut Dato’ Samson Anand George iaitu ketua pegawai operasi Nasim, “Pusat Servis Peugeot Klang ini menjadikan kapasiti keseluruhan untuk servis kenderaan Peugeot bertambah kepada 15,000 unit sebulan. Pembukaan kemudahan ini adalah antara usaha mengembangkan jaringan kami bagi kepuasan pelanggan dan mengurangkan masa untuk penyelenggaraan kenderaan mereka”

Beliau menambah bahawa pusat servis baharu ini dijangka dapat memberi khidmat kepada kawasan-kawasan seperti Klang, Pulau Ketam, Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Teluk Panglima Garang, Jenjaron dan Kapar.

Pusat servis ini berkeluasan 10,500 kaki persegi, mempunyai tujuh petak servis dan dibina dengan kos RM1 juta untuk kemampuan menyelenggara sehingga 20 unit kenderaan sehari. Ia dimiliki dan diuruskan oleh UDH Ventures Sd. Bhd.

Serentak dengan perasmian pusat servis ini, pelanggan-pelanggan Peugeot yang menghantar kereta mereka untuk diselenggara akan mendapat sehelai t-shirt Peugeot. Seorang pelanggan bertuah juga dapat memenangi sebuah iPad Mini dengan hanya menjawab tiga soalan berkenaan Peugeot dengan betul. Promosi ini hanya sah dari Jun 10 hingga Julai 15.

Nasim Sdn. Bhd. bercadang untuk melancarkan dua lagi kemudahan seperti ini sebelum 2016.