Ringkasan AI
- Seikat rambut dipercayai milik George Washington dijual pada harga AS$4,000 dalam satu acara lelongan baru-baru ini.
- Rambut berbingkai itu pernah dimiliki John Gadsby sebelum diwarisi keturunannya dan kemudian diperoleh pengumpul artifak John K. Lattimer.
- Pihak Mount Vernon memaklumkan puluhan sampel rambut Washington masih disimpan sebagai koleksi sejarah, selain barangan lain yang turut dilelong.
WASHINGTON: Seikat rambut yang dipercayai milik presiden pertama Amerika Syarikat, George Washington, berjaya dijual pada harga AS$4,000 (kira-kira RM16,450) dalam satu acara lelongan baru-baru ini.
Menurut laporan BBC, rambut berbingkai itu sebelum ini dimiliki oleh John Gadsby, seorang kenalan Washington yang pernah menjadi tuan rumah jamuan makan malam untuk tokoh berkenaan beberapa minggu sebelum kematiannya pada 1799.
Rumah lelong Richmond Auctions memaklumkan rambut bersejarah itu kemudiannya diwarisi oleh keturunan Gadsby sebelum diperoleh oleh seorang pengumpul artifak, John K. Lattimer. Identiti pembeli baharu tidak didedahkan.
Walaupun nilai jualannya tinggi, ia bukan rekod tertinggi bagi artifak berkaitan Washington. Pada 2021, tiga helaian rambut yang dipercayai diambil berhampiran waktu kematiannya dijual pada harga hampir AS$40,000.
Washington dikenang sebagai tokoh yang memimpin perjuangan kemerdekaan Amerika Syarikat daripada British serta memainkan peranan penting dalam penggubalan Perlembagaan negara itu sebelum menjadi presiden pertama pada 1789.
Menurut pihak pengurusan muzium Mount Vernon, bekas kediaman Washington, puluhan sampel rambut tokoh berkenaan masih disimpan sehingga hari ini sebagai sebahagian daripada koleksi sejarah negara.
Selain rambutnya, pelbagai barangan berkaitan Washington terus menarik minat pengumpul. Pada Julai lalu, sepucuk surat yang ditandatangani beliau berjaya dilelong pada harga lebih AS$109,000.