Kes baharu COVID-19 di negara ini kembali merekodkan angka dua digit selepas Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan terdapat 21 kes baharu dikesan setakat 12 tengah hari, hari ini.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut mengesahkan KKM telah berjaya mengesan satu lagi kluster baharu di Labu Lanjut, Sepang.

Jelas beliau, sehingga kini lima kes positif COVID-19 telah dikesan dalam kluster itu. Namun, punca jangkitan dalam kluster tersebut masih dalam siasatan.

Berikut lima tumpuan dalam kenyataan media KKM pada Sabtu:

1. 21 kes baharu, jumlah kes positif COVID-19 adalah sebanyak 8,556 kes. 76 kes sembuh sepenuhnya, menjadikan kes pulih daripada COVID-19 sebanyak 8,146 kes (95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

2. Daripada jumlah kes baharu, dua adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, 19 kes penularan di dalam negara.

3. Kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 121 kes atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

4. Satu kluster baharu dikesan di Labu Lanjut, Sepang. Lima kes positif COVID-19 direkodkan dalam kluster itu, setakat ini.

5. Kes indeks merupakan seorang pesakit yang dirawat Acute Respiratory Infection (ARI) di Hospital Serdang. Beliau dikesan positif pada 5 Jun. Punca jangkitan kluster ini adalah masih dalam siasatan.