KUCHING:Penilaian semasa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mendapati satu kluster baharu mungkin wujud melibatkan sektor perkilangan di Samarahan.

Sehubungan itu, Penasihat JPBN Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menggesa pihak yang bekerja di Kuching dan Zon Perindustrian Samajaya untuk berjaga-jaga susulan pertambahan 12 kes positif COVID-19 di daerah Samarahan semalam.

Bagaimanapun, tegas beliau, orang ramai tidak perlu panik dengan sebarang operasi pengesanan kes aktif yang dilakukan di beberapa kawasan di Samarahan.

"Tolong jangan panik apabila ada ACD dilakukan. Ia adalah untuk mengesan individu tanpa gejala atau mempunyai simptom ringan.

"Ia bukan sahaja untuk memutuskan penularan kepada keluarga, tempat kerja atau komuniti anda, tetapi pengesanan dan rawatan awal dapat mencegah jangkitan teruk dan kematian,” Katanya dalam satu hantaran Facebook.

Susulan beberapa lokasi di Samarahan yang terdedah dengan kes COVID-19 seperti Hadilah Cafe dan Kedai Sate Univista, Dr Sim mahu mereka melakukan saringan di hospital berhampiran.