Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan satu kluster baharu COVID-19 dilaporkan di Semporna, Sabah iaitu Kluster Bangau-Bangau.

Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 168 kes yang telah pulih COVID-19 hari ini dengan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 9,563 kes dengan tiada kematian baharu dilaporkan.

"Kesemua yang terlibat dengan Kluster Bangau-Bangau telah dimasukkan ke Hospital Semporna untuk rawatan.

"Sehingga Selasa, sejumlah 97 individu telah disaring dengan lima kes dikesan positif COVID-19; dan 92 individu masih menunggu keputusan.

"Langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan telah dijalankan di Hospital Semporna. Punca jangkitan masih dalam siasatan. Perkhidmatan di Hospital Semporna berjalan seperti biasa," katanya dalam sidang media di sini, pada Selasa.

Katanya, kes baharu COVID19 meningkat kepada 82 kes daripada 57 kes pada Isnin dengan 72 tempatan dan 10 import.

"Daripada 72 kes penularan di dalam negara, 60 kes adalah warga negara dan 12 kes adalah bukan warga negara.

"Terdapat 41 kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Benteng LD, enam kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Pulau, enam kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Selamat dan sembilan kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Sungai.

"Sehingga kini, terdapat sembilan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan," jelasnya.



Jelasnya, KKM juga telah menyediakan katil bagi kes positif COVID-19, iaitu sebanyak: 251 di Hospital Lahad Datu, 401 katil di Hospital Tawau dan 40 katil di Hospital Kunak.

Selain itu, beberapa lokasi juga telah disiapkan sebagai pusat kuarantin bagi menempatkan Person Under Investigation (PUI), iaitu di Tawau, 720 katil di Institut Perguruan Tawau.

Sementara di Lahad Datu, terdapat 118 katil di Palm Inn Malaysian Palm Oil Board (MPOB), 160 katil di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan 76 Felda Residence Sahabat.

Di Kunak, 15 katil di Asrama Rumah Anak-Anak Yatim, Kunak, 12 katil Rumah Kerajaan Negeri, Kunak; dan 100 katil di Asrama Sekolah Menengah Agama Kunak.

Manakala di Semporna, 180 katil disediakan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Ria.